KOTA MARUDU: Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek Datuk Dr Janathan Kandok mengadakan lawatan mesra ke Tamu Kampung Mosolog bagi mendengar sendiri pandangan, aspirasi dan keperluan masyarakat setempat.
Dalam lawatan itu, Janathan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan peniaga, penjaja serta pengunjung tamu.
Beliau turut bertukar-tukar pandangan dengan peniaga mengenai aktiviti ekonomi setempat serta kebajikan penduduk Kampung Mosolog dan kawasan sekitarnya.
Ketibaan beliau disambut pemimpin dan komuniti tempatan.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Tandek Singan Lingkubang; Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Tandek Siti Fatimah Majingkal; Pemaju Masyarakat Helijah Haris; serta ahli jawatankuasa bahagian Datuk George Sangkin, Datuk Abd Latiff Kandok, Ketua Anak Negeri Magimbal Ibun dan Rita Hamdan.
Lawatan berkenaan diketuai George dan diselaraskan Magimbal. Turut hadir Tokoh Momogun Kimaragang Oneh Latifah Osman.
Pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen kepimpinan Gagasan Rakyat Tandek untuk terus mendekati masyarakat serta memastikan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi penduduk kawasan berkenaan diberi perhatian.
































