Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Jabatan Bantuan Guaman (JBG) disaran mempergiat usaha meningkatkan kefahaman undang-undang dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk luar bandar Sabah dan golongan kurang berkemampuan, bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada memperoleh maklumat tentang hak serta akses kepada bantuan perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi pendekatan pendidikan yang mudah difahami, bersifat praktikal dan dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM42.3 juta kepada JBG bagi 2026 untuk memperluas akses kepada keadilan dan perlindungan undang-undang, selain RM250,000 yang disediakan untuk peguam panel bagi menyokong perkhidmatan bantuan guaman kepada masyarakat.
“Kalau mengikut data daripada Jabatan Bantuan Guaman, untuk di Sabah sahaja, sebanyak 315 kes sivil dan 161 kes syariah telah dikendalikan (pada 2026),” katanya ketika berucap merasmikan Wacana JBG Negeri Sabah di Wisma Wanita, di sini hari ini.
Mustapha berkata perkhidmatan bantuan guaman itu turut disediakan kepada warganegara yang berpendapatan tahunan kurang RM50,000, justeru maklumat tentang kemudahan berkenaan perlu disebarluaskan supaya lebih ramai golongan yang layak dapat memanfaatkannya.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta pemimpin masyarakat memainkan peranan lebih aktif dengan menguar-uarkan kewujudan perkhidmatan JBG kepada penduduk di kampung masing-masing, terutama mereka yang menghadapi kekangan mendapat nasihat dan bantuan perundangan.
Beliau berkata kerjasama dengan ketua kampung, ketua anak negeri, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta pertubuhan komuniti perlu diperkukuh bagi menjadikan golongan berkenaan sebagai penghubung antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Mustapha berkata pemimpin masyarakat yang mempunyai hubungan rapat dengan komuniti masing-masing sering menjadi tempat rujukan awal apabila timbul sesuatu permasalahan, sekali gus berupaya membantu penduduk mengenal pasti saluran bantuan perundangan yang bersesuaian.
Bagaimanapun, Mustaphaberkata peranan mereka bukan untuk memberikan nasihat guaman yang memerlukan kepakaran profesional, sebaliknya membantu orang ramai mendapat panduan awal dan merujuk permasalahan kepada pihak yang berkelayakan.
Dalam usaha memperluas capaian perkhidmatan kepada masyarakat, beliau berkata JBG turut menyediakan masing-masing dua kenderaan bagi Sabah dan Sarawak menerusi inisiatif bantuan guaman bergerak Justice on Wheels, dengan 85 program turun padang dilaksanakan setakat tahun ini.
Sementara itu, Mustapha berkata sebanyak RM1.29 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Pusat Mediasi MADANI (PMM), merangkumi RM680,000 untuk kursus pensijilan profesional, RM200,000 bagi latihan pengantaraan serta RM410,000 untuk program promosi pusat berkenaan.
Beliau berkata perkhidmatan JBG turut meliputi kes kekeluargaan seperti tuntutan nafkah dan perceraian, selain kes sivil membabitkan harta pusaka kecil, kemalangan jalan raya, sewa beli, penyewaan serta tuntutan pengguna.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat anggota masyarakat yang tidak mengetahui saluran untuk mendapat bantuan perundangan meskipun berdepan dengan masalah yang menjejaskan hak dan kepentingan mereka.
Oleh itu, Mustapha menekankan bahawa usaha meningkatkan celik undang-undang tidak seharusnya terbatas kepada penganjuran program atau kempen bermusim, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan serta kerjasama pelbagai pihak.
Wacana JBG yang berlangsung selama sehari itu turut menampilkan sesi forum dan taklimat mengenai peluasan bidang kuasa bantuan guaman sivil dan syariah, PMM, pembelaan awam, pengendalian penyiasatan kes melibatkan mangsa kanak-kanak serta peranan pendamping guaman dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan institusi berkaitan. — BERNAMA
































