Dr Shamsul Anuar Nasarah
KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan telah meluluskan peluasan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah Fasa Dua melibatkan Pulau Malawali dan Sandakan bagi memperkukuh pengawasan maritim negara, dengan proses tender dijangka bermula pada hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2026 sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan jurang liputan pengawasan perairan negara.
Beliau berkata ketika ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengoperasikan 15 stesen radar Remote Sensored Site (RSS) di bawah SWASLA, masing-masing 12 di sepanjang Selat Melaka dan tiga di pantai barat Sabah.
“Kesemua 15 RSS APMM beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu dalam kawasan liputan masing-masing. Hal ini bermakna kawasan yang berada dalam lingkungan sistem tersebut akan dipantau secara berterusan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin tahu kemajuan sistem pengesanan awal menggunakan radar, pesawat tanpa pemandu (UAV) dan satelit, liputan pengawasan 24 jam dan bilangan sindiket penyeludupan yang dilumpuhkan serta jurang keupayaan aset APMM.
Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata operasi berterusan stesen radar berkenaan tidak bermakna keseluruhan perairan negara mempunyai liputan pengawasan 100 peratus, justeru APMM melaksanakan rondaan berkala menggunakan kapal dan bot di kawasan yang belum diliputi sistem itu.
Bagi Sarawak, beliau berkata peruntukan pembangunan SWASLA diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 2024, namun cadangan pelaksanaan kajian sistem berkenaan masih menunggu maklum balas Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata kerajaan turut meluluskan kajian pembangunan SWASLA di pantai timur Semenanjung di bawah RP4 RMK12, dengan proses tender bagi kajian itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam usaha memperkukuh pengawasan, Shamsul Anuar berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui APMM sedang beralih daripada pendekatan mengesan dan bertindak kepada sistem lebih bersepadu berasaskan pengesanan awal, pengenalpastian sasaran dan tindak balas pantas.
Beliau berkata pendekatan itu merangkumi peluasan sistem radar, penggunaan UAV, pemodenan aset serta peningkatan integrasi maklumat operasi, termasuk perolehan dua kapal yang dilengkapi dengan UAV bagi meningkatkan keupayaan pengawasan udara.
Berhubung teknologi satelit, beliau berkata APMM masih belum mempunyai satelit khusus untuk pengawasan maritim secara berterusan memandangkan penggunaan teknologi berasaskan satelit ketika ini lebih tertumpu kepada sokongan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Bagi tempoh 2020 hingga Ogos tahun ini, beliau berkata APMM merekodkan 834 kes penyeludupan dengan nilai keseluruhan tangkapan berjumlah RM257.55 juta, namun keberkesanan penguatkuasaan bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah tangkapan semata-mata.
Shamsul Anuar berkata sebaliknya, kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha memutuskan keseluruhan rantaian aktiviti penyeludupan, termasuk melalui pengesanan, siasatan, rampasan, pendakwaan, perkongsian risikan serta tindakan terhadap rangkaian logistik dan pihak yang menyokong kegiatan itu.
“Antara jurang keupayaan aset APMM yang masih perlu ditangani ialah liputan pengawasan yang belum menyeluruh, keperluan tambahan UAV, aset udara bagi pemantauan berterusan, kapal berkeupayaan jarak jauh, aset pemintasan berkelajuan tinggi serta sistem C4ISR (pusat perintah, kawalan, komunikasi, komputer, perisikan, pengawasan dan peninjauan.
“Apa-apa pun, kerajaan sedang menangani jurang tersebut secara berfasa melalui peluasan SWASLA, perolehan aset strategik serta program pemodenan kapal serta bot operasi APMM,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Hasni tentang pengurusan pendatang yang menceroboh perairan negara, khususnya proses penahanan dan pengusiran, Shamsul Anuar berkata APMM tidak mempunyai pusat tahanan sendiri, sebaliknya hanya kemudahan lokap untuk menempatkan individu yang disyaki bagi tujuan reman dan siasatan.
Beliau berkata individu terbabit akan diserahkan kepada pihak berkaitan untuk ditempatkan di pusat tahanan selepas hukuman dijatuhkan, selain KDN turut bekerjasama dengan pelbagai agensi di bawah kementerian itu bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara. — BERNAMA
































