Suasana ketika program berlangsung.
SEMPORNA: Kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan komuniti.
Pengarah Maritim Negeri, Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kerjasama berkenaan memasuki tahun ketiga bermula di Sandakan pada 2024 sebelum diteruskan ke Pulau Banggi, Kudat pada 2025 dan Semporna pada tahun ini.
“Walaupun lokasi berubah, matlamat kita tetap sama iaitu membawa semangat kemerdekaan lebih dekat kepada rakyat dan menyatukan usaha antara agensi kerajaan dengan komuniti.
“Kerjasama itu turut melengkapi usaha APMM dan JAPEN mendekati komuniti menerusi program INFO ON BOAT, khususnya dalam menyampaikan maklumat serta mesej berkaitan perkhidmatan dan peranan agensi kepada masyarakat maritim,” katanya ketika berucap sempena KMJG 2026 Daerah Semporna, di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Zon Maritim Semporna, di sini pada Isnin.
Menurutnya, pendekatan berasaskan kebersamaan itu turut diteruskan menerusi beberapa inisiatif baharu sepanjang KMJG 2026, antaranya Kotak Kembara Cilik di Nabawan, Pek Kembara Cilik dan Kotak Kembara Sejahtera di Kalabakan, pengedaran Beg Kembara Sejahtera serta pelancaran Pin Badge “Malaysia Tanah Airku, Saya Sayang Sabah” di Semporna, manakala Pek Kembara Sejahtera pula akan dibawa ke Paitan kelak.
“Inisiatif ini menjadi salah satu usaha kita untuk menyemarakkan cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan komuniti di Sabah.
“Penglibatan bersama agensi kerajaan dan komuniti menerusi KMJG membuktikan semangat patriotisme dapat diterjemahkan melalui tindakan bersama, bukan sekadar sambutan, selaras aspirasi “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.
“Sebagai agensi yang mewakili kerajaan, kita membawa hasrat kerajaan kepada komuniti dan bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang supaya semangat kenegaraan dan kemerdekaan itu sampai kepada seluruh lapisan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata kerjasama yang terjalin antara Maritim Malaysia dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah diharap terus diperkukuhkan bagi memastikan semangat patriotisme terus subur dalam kalangan masyarakat.






























