Hajiji melancarkan aplikasi permohonan dalam talian Rumah SMJ sempena pembukaan Persidangan Pegawai Daerah di Hotel Perkasa, Keningau hari ini.
KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion tahun ini bagi pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan yang terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu setiap Pegawai Daerah mengenal pasti potensi ekonomi di daerah masing-masing.
“Sesetengah daerah mempunyai kekuatan dalam bidang pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada juga yang mempunyai sumber marin, manakala sesetengahnya mempunyai potensi dalam sektor perindustrian dan perdagangan. Kekuatan dan peluang ini mesti dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang.
“Tugas kita adalah memastikan potensi ini dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Sabah Ke-29 di Hotel Perkasa di sini hari ini.
“Dalam hal ini, saya melihat Ekonomi Biru sebagai sektor yang mempunyai potensi besar, khususnya di kawasan luar bandar. Sabah mempunyai sumber marin, biodiversiti dan kawasan pesisir pantai yang luas.
“Potensi ini mesti dimanfaatkan secara berhemah bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat. Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi sedemikian serta memudah cara pelaburan yang bersesuaian dengan keperluan dan kekuatan setiap daerah,” katanya.
Hajiji mengulangi bahawa Kerajaan Negeri menetapkan siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion tahun ini bagi 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.
“Siling peruntukan itu meliputi 241 projek sambungan dan 932 projek baharu. Bagaimanapun, semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Menteri mahu setiap Pegawai Daerah memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek dan program di daerah masing-masing.
Pemantauan mesti dilaksanakan secara berterusan. Jika terdapat masalah, ia mesti dikenal pasti lebih awal, manakala sekiranya berlaku kelewatan, puncanya perlu dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata, Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah juga perlu mengubah cara mengukur kejayaan pembangunan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada jumlah projek yang diluluskan atau disiapkan.
“Kita mesti melihat impaknya kepada rakyat. Adakah masalah mereka telah diselesaikan? Adakah kemudahan mereka bertambah baik? Adakah peluang ekonomi meningkat? Adakah kualiti hidup mereka bertambah baik? Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa pembangunan luar bandar akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri, khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
“Begitu juga dengan perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi masyarakat. Kita mahu terus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah kerana membangunkan Aplikasi Dalam Talian Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah menjadikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih pantas, telus dan mesra rakyat.
“Saya berharap aplikasi ini terus ditambah baik, termasuk melalui penggunaan kecerdasan buatan atau AI. Teknologi ini dapat membantu rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, selain memudahkan proses permohonan dan semakan,” katanya.
Ketua Menteri turut mahu budaya kerja dalam pentadbiran daerah terus diperkukuh.
“Kita mahukan perkhidmatan yang pantas, keputusan yang tepat dan tadbir urus yang baik, dan setiap tindakan mesti sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Kita tidak boleh membiarkan perancangan pembangunan berubah setiap kali berlaku perubahan. Rakyat memerlukan kesinambungan, pelabur memerlukan keyakinan dan jentera kerajaan memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya.
“Keberhasilan kerajaan bukan sekadar diukur berdasarkan dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan, tetapi melalui perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.
“Apabila jalan raya bertambah baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi meningkat dan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya.
Beliau menyeru Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah supaya bekerjasama dalam memperkukuh pentadbiran daerah serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Jadikan Pejabat Daerah sebagai sebuah institusi yang cekap, responsif, berintegriti dan dekat dengan rakyat. Dengan komitmen seluruh jentera kerajaan, saya yakin kita dapat mengekalkan kesinambungan pembangunan negeri dan menjayakan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 demi Sabah yang lebih maju, makmur dan berkembang,” katanya.




























