Julita (tengah, kiri) ketika berkongsi pandangan pada sidang mesyuarat yang dipengerusikan bersama Dzulkefly (tengah, kanan).
KOTA KINABALU: Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Rolling Plan 1 (RP1) 2026 disasar beroperasi pada suku ketiga 2029 bagi memperkukuh perkhidmatan rawatan kardiologi kepada rakyat negeri ini.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini melaksanakan kerja-kerja awal projek berkenaan termasuk proses perolehan bagi ujian bahan yang dijangka selesai bulan ini sebelum pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai pada suku pertama 2027.
“Projek ini (Pusat Jantung Sabah) adalah projek baharu di bawah RMK-13 RP1 tahun 2026 dengan jumlah kos RM125 juta.
“Skop projek merangkumi kerja-kerja menaik taraf, pembangunan, peralatan dan kerja-kerja berkaitan. KKM sedang dalam proses perolehan bagi ujian bahan yang dijangka selesai pada bulan Ogos 2026 ini.
“Mengambil kira kepentingan projek ini, kita jadikannya sebagai keutamaan. Jika tiada sebarang halangan, pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2027.
“Pelaksanaannya mengambil masa kira-kira 24 bulan atau dua tahun dan kita berharap ia dapat beroperasi menjelang suku ketiga 2029,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 bersama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki, di sini, pada Isnin.
Pusat Jantung Sabah merupakan antara tujuh projek baharu daripada keseluruhan 53 projek kesihatan yang melibatkan peruntukan RM1.57 bilion kepada Sabah di bawah RMK-13 RP1 2026, selain 46 projek sambungan.
Beliau turut menjelaskan mengenai isu sumber manusia di hospital seluruh Sabah.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah memberikan mandat kepada KKM untuk menguruskan pengambilan dan perjawatan secara terus bagi mengurangkan birokrasi,” jelasnya.
Setakat 1 Ogos lalu, sebanyak 607 jawatan baharu telah diwujudkan di Sabah melibatkan 355 jawatan Pengurusan dan Profesional termasuk 77 jawatan pakar serta 203 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, selain 252 jawatan Kumpulan Pelaksana.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM turut mengunjurkan peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang dijangka mencecah RM4 bilion menjelang 2030, manakala kemajuan rundingan dan pelaksanaan pembangunan kesihatan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dipantau menerusi Balanced Scorecard dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dan Setiausaha Tetap, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong.






























