Dzulkefly (tengah) dan Julita (kiri) semasa sesi sidang media.
KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.57 bilion bagi pelaksanaan 53 projek pembangunan kesihatan di Sabah.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengimbangi keperluan kesihatan rakyat Sabah.
“KKM telah merangka perancangan strategik merangkumi tiga aspek utama, iaitu pembangunan fasiliti kesihatan berimpak tinggi, pemerkasaan perjawatan dan sumber manusia serta lonjakan peruntukan kewangan.”Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan besar berjumlah RM1.57 bilion yang diluluskan di bawah RMK-13 RP1.
“Peruntukan ini merangkumi pelaksanaan 53 projek, iaitu 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu.
“KKM turut menetapkan sasaran peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Melalui perancangan strategik ini, peruntukan dijangka melonjak kepada sejumlah RM4 bilion menjelang tahun 2030,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026, di sini, pada Isnin.
Dzulkefly berkata, perkembangan pembangunan kesihatan Sabah itu turut diperkukuh menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam pelaksanaan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Fasa rundingan berhubung permintaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan pembangunan kesihatan Sabah melalui lima jawatankuasa kecil sedang berjalan dengan lancar. Kini, KKM dan Kerajaan Negeri Sabah akan memfokuskan usaha secara tuntas ke arah fasa pelaksanaan yang menyeluruh,” ujarnya.
Jelasnya, kemajuan rundingan dan pelaksanaan berkenaan akan dipantau melalui sistem Balanced Scorecard dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM turut meluluskan peruntukan segera hampir RM4.3 juta bagi menaik taraf kemudahan dan meningkatkan keupayaan tiga hospital daerah di Sabah susulan lawatan kerja Menteri ke negeri itu pada 14 hingga 18 Ogos 2026.
Peruntukan itu melibatkan RM988,000 untuk Hospital Tambunan, RM1.279 juta bagi Hospital Ranau dan RM2.01 juta untuk Hospital Kota Belud bagi keperluan naik taraf fasiliti, peralatan perubatan serta kemudahan sokongan.
Menurut beliau, KKM akan terus memastikan pembangunan dan perkhidmatan kesihatan di Sabah diperkukuh secara berterusan demi menjamin kualiti serta kesejahteraan rakyat negeri itu.
“Kami akan terus menggembleng tenaga memastikan seluruh ketetapan ini direalisasikan dengan jayanya, demi menjamin kualiti dan kesejahteraan kesihatan seluruh rakyat Sabah,” tambahnya.
Turut hadir, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dan Setiausaha Tetap, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong.






























