Tun Musa (dua dari kiri) memasuki Dewan Istiadat.
KOTA KINABALU: Seramai 153 individu menerima Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Serta Pingat-pingat Negeri Sabah.
Istiadat bersempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman itu berlangsung di Istana Seri Kinabalu di sini, pada Isnin.
Pengurniaan dimulakan dengan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk kepada Ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan dan Pakar Perubatan di Hospital Swasta, Datuk Dr. Ahmad Ashraf Zaini Amat, diikuti 13 penerima lain.
Dalam istiadat berkenaan, Tun Musa turut menganugerahkan Jaksa Pendamai (J.P) kepada tokoh korporat, Muhammad Yazrin Zaifuddin Zainuddin.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan, Datuk Ir. Ts. Huszian Husin, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar serta penulis dan pengkaji sejarah tempatan, Abednigo Chow Yau Shung merupakan antara 23 individu yang menerima darjah kebesaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K).
Dalam pada itu, seramai 34 individu dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K), antaranya Mantan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, Presiden Persatuan Orang Kerdil Sabah, Asna @ Asnah Yusop, Pengarah, penyanyi dan pelakon, Ebi Kornelis @ Fidaus Yaimal dan Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Sabah, Emran @ Azmi Rosle.

Emran (kiri) menerima anugerah A.D.K dari Tun Musa (kanan).
Selain itu, seramai 37 individu menerima Bintang Setia Kinabalu (B.S.K), 30 lagi dianugerahkan Bintang Kinabalu (B.K) dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dianugerahkan kepada seramai 13 penerima.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Ruddy Awah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar.






























