Suasana ketika program berlangsung.
SEMPORNA: Penglibatan komuniti dalam Program Jiwa @Komuniti MADANI menjadi wadah mempererat hubungan antara kerajaan dengan masyarakat dalam usaha membangunkan kawasan setempat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Bugaya, Datuk Marunda Ampong berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat bukan sahaja menerima manfaat daripada usaha kerajaan, malah turut memainkan peranan secara bersama dalam membentuk komuniti yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.
“Komuniti MADANI mempunyai peranan yang sangat penting sebagai wadah untuk mendekatkan masyarakat dengan kerajaan, memperkukuh semangat kejiranan serta membina masyarakat yang prihatin, saling membantu dan bertanggungjawab.
“Semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui kerjasama dan usaha bersama antara masyarakat serta kerajaan dalam membangunkan komuniti.
“Pendekatan berkenaan amat penting dalam konteks Semporna yang mempunyai kepelbagaian masyarakat, budaya dan tradisi kerana perbezaan itu boleh menjadi kekuatan dalam mewujudkan komuniti yang lebih bersatu.
“Semangat Hari Merdeka akan membina rasa cinta kepada negara, manakala program komuniti MADANI menjadi wadah menterjemahkan semangat tersebut melalui perpaduan, kerjasama, keprihatinan dan usaha bersama membangunkan masyarakat,”
katanya ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia DUN Bugaya di Dewan Terbuka Maronna, Kg. Tanjung Kapor, di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memperkukuh semangat kemerdekaan selaras dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dengan bersama-sama membina negara yang bukan sahaja bebas dari segi fizikal, tetapi turut bebas dari segi pemikiran, budaya dan ekonomi.






























