Arthur (dua dari kiri) bersama Raisin dan tetamu kehormat lain, memberikan semangat kepada semua peserta.
RANAU: Kejayaan dalam bidang sukan tidak seharusnya diukur melalui pingat semata-mata, sebaliknya dilihat sebagai medium terbaik bagi membentuk disiplin, ketabahan, semangat berpasukan, integriti dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Timbalan Ketua Menteri I, merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sukan merupakan medan pendidikan yang mampu membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda, selain melahirkan modal insan yang berkualiti untuk menerajui masa depan Sabah.
“Sukan bukan sekadar mengejar pingat atau berdiri di atas podium. Lebih penting daripada itu, sukan mendidik seseorang menjadi individu yang berdisiplin, berdaya tahan, menghormati peraturan, menghargai rakan sepasukan serta memiliki semangat kepimpinan dan integriti yang tinggi,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-58 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Ranau, kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Arthur Sen.
Dr. Joachim yang juga ADUN Kundasang berkata, setiap latihan, cabaran dan pengorbanan yang ditempuhi oleh atlet merupakan proses pembelajaran yang membentuk karakter serta mentaliti seorang juara.
Katanya, nilai-nilai murni yang dipupuk melalui sukan akan menjadi bekalan penting kepada pelajar apabila melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.
Dalam ucapan itu, Dr. Joachim turut menggesa para atlet supaya menjadikan kisah kejayaan tokoh sukan seperti Datuk Lee Chong Wei, Cristiano Ronaldo dan Michael Jordan sebagai inspirasi bahawa kejayaan hanya mampu dicapai melalui disiplin, kerja keras dan semangat untuk bangkit daripada kegagalan.
Katanya, kegagalan bukanlah penamat kepada perjalanan seseorang atlet, sebaliknya menjadi pengalaman berharga untuk terus memperbaiki diri dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Sementara itu, Dr. Joachim merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kerana telah memilih daerah Ranau sebagai tuan rumah kejohanan, selain mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, jawatankuasa pelaksana dan semua petugas yang menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan kontinjen dari 24 daerah seluruh Sabah dan berharap kejohanan itu menjadi platform mencungkil lebih ramai atlet berbakat yang mampu mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan sukan dan pendidikan melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai generasi muda berpeluang mengembangkan potensi serta bakat mereka.
Pada majlis tersebut, Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin yang bakal menamatkan perkhidmatan selepas sekian lama menabur bakti dalam memartabatkan pendidikan dan pembangunan sukan sekolah di Sabah.
Kejohanan Olahraga MSS Sabah Ke-58 menghimpunkan atlet-atlet sekolah daripada 24 daerah di seluruh negeri, yang bersaing dalam pelbagai acara olahraga sebagai medan pemilihan atlet yang akan mewakili Sabah ke kejohanan peringkat kebangsaan kelak.
































