Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 12 buah kampung di sepanjang Jalan Tamparuli-Ranau masih belum menikmati bekalan air terawat secara menyeluruh.
ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kampung-kampung terbabit termasuklah Kg. Ruhiang, Kg. Kapa, Kg. Kopiringan, Kg. Loputung, Kg. Gayoratau, Kg. Bundu Tohuri, Kg. Minangkob, Kg. Togop, Kg. Sinalapak, Kg. Kelawat, Kg. Parad dan Kg. Bongol.
“Di samping itu, masih banyak kampung di Mukim Tenghilan turut menghadapi cabaran yang sama.
“Bekalan air bukan sekadar satu kemudahan asas bagi rakyat. Ia adalah keperluan harian yang menentukan kesihatan keluarga, kebersihan, pendidikan anak-anak, kegiatan ekonomi dan kualiti hidup,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Madius berkata, Sabah memerlukan satu Pelan Induk Bekalan Air Negeri yang mempunyai sasaran jelas, boleh diukur dan mempunyai garis masa pelaksanaan.
“Saya berharap kerajaan akan memasukkan kampung-kampung ini dalam penaiktarafan bekalan air terawat yang sempurna dengan segera.
“Pada masa yang sama saya juga meminta penjelasan jumlah keseluruhan pelaburan yang diperlukan bagi membolehkan Sabah mencapai 30 peratus reserve margin bekalan air terawat di seluruh negeri.
“Bilakah sasaran tersebut akan dicapai, dan bilakah kadar NRW akan berjaya diturunkan ke paras di bawah 25 peratus,” katanya.
Madius turut memohon Kerajaan Negeri mempertimbangkan mengembalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tamparuli mengikut prinsip yang sama seperti PPD Membakut.
Beliau berkata, PPD Tamparuli pernah diwujudkan sebelum ini sebelum digabungkan dengan PPD Tuaran.
“Situasi ini serupa dengan PPD Membakut yang turut dimansuhkan pada ketika itu, dan hari ini PPD Membakut telah diwujudkan semula.
“Saya berharap prinsip yang sama dapat dipertimbangkan bagi menubuhkan semula PPD Tamparuli dan pihak Kerajaan Negeri dapat memperjuangkan perkara ini ke peringkat persekutuan,” katanya.
Madius berkata, penubuhan semula PPD Tamparuli akan memperkukuhkan pengurusan pendidikan serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada sekolah-sekolah di Tamparuli, Tenghilan dan sekitarnya.
Ujar beliau, langkah itu turut akan meningkatkan pembangunan modal insan di kawasan tersebut.
“Ukuran kejayaan Kerajaan bukanlah berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan.
“Ini termasuklah dalam sektor pendidikan.
“Kerajaan tidak dinilai berdasarkan berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi berdasarkan berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan,” tambah Madius sambil menyatakan sokongan terhadap RUU tersebut dengan harapan setiap ringgit yang diluluskan dibelanjakan secara berhemah.
































