Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyarankan supaya Kerajaan Negeri menyemak semula elaun Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memandangkan beban tugas mereka kini semakin besar.
Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata, penyelesaian kepada masalah rakyat turut bergantung kepada kekuatan institusi penyampaian perkhidmatan Kerajaan di peringkat akar umbi.
“Setiausaha JKKK kini memikul tanggungjawab pentadbiran yang semakin besar, termasuk mengurus data rakyat, penyelarasan program Kerajaan, penyediaan laporan, mesyuarat serta pelbagai urusan pentadbiran kampung,” katanya.
Madius berkata, elaun sebanyak RM400 sebulan yang diterima Setiausaha JKKK pada masa ini tidak lagi sepadan dengan beban tanggungjawab tersebut.
Beliau turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan menaikkan elaun Pengerusi JKKK yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Namun pengiktirafan yang sama wajar turut diberikan kepada Setiausaha JKKK selaku tulang belakang pentadbiran kampung,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan elaun Setiausaha JKKK dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 sebulan.
“Pengiktirafan ini penting bagi memastikan mereka terus dapat menjalankan tugas dengan cekap dan berdedikasi,” ujarnya.
Madius turut menyeru Kerajaan Negeri mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah, pemprosesan permohonan serta pengeluaran Geran Anak Negeri (NT) bagi meringankan beban rakyat.
Menurutnya, rakyat tidak mahu lagi mahu menunggu bertahun-tahun untuk memperoleh hak milik tanah mereka.
“Setiap tambahan peruntukan kepada Jabatan Tanah dan Ukur hendaklah benar-benar mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Tanah ialah tempat tinggal, sumber rezeki, warisan keluarga dan jaminan masa depan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, tanah bukan sekadar aset ekonomi bagi kebanyakan rakyat Sabah.
“Justeru, saya ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh Kerajaan untuk mempercepatkan kerja pengukuran tanah, pemprosesan permohonan serta pengeluaran Geran NT.
“Bagaimanakah tambahan peruntukan itu akan membantu mengurangkan tunggakan permohonan, khususnya di kawasan luar bandar,” tegas beliau.
Madius berkata, transformasi pentadbiran tanah bukan sekadar soal pendigitalan semata-mata.
“Apa yang lebih penting ialah meningkatkan integriti, kecekapan dan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian Kerajaan.
“Saya mencadangkan sistem pentadbiran tanah diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi biometrik, penyepaduan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara serta audit berkala bagi memastikan setiap urusan tanah dilaksanakan secara telus dan berintegriti,” tambahnya.
































