Tenggiling hidup yang dirampas semasa operasi itu.
SEMPORNA: Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah pada 23 Februari 2026 di sebuah resort pelancongan di daerah ini susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti penyimpanan dan penyediaan hidupan liar sebagai hidangan makanan eksotik kepada pelancong.
Operasi itu turut melibatkan anggota Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am Sandakan yang menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd. Soffian Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan mendapati pihak penguat kuasa menemui dan merampas seekor tenggiling hidup, spesies hidupan liar Dilindungi Sepenuhnya.
Beliau berkata, tenggiling yang dirampas dikenal pasti sebagai spesies Manis javanica selain beberapa hidangan yang dipercayai melibatkan hidupan liar dilindungi.
“Beberapa individu turut diambil tindakan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Soffian menegaskan, tenggiling merupakan spesies Dilindungi Sepenuhnya di bawah Jadual I Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan tiada lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis, termasuk premis pelancongan, untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies berkenaan sebagai hidangan.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun.
Beliau berkata, jabatan memandang serius sebarang aktiviti penyediaan hidupan liar dilindungi sebagai makanan eksotik kepada pelancong kerana amalan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana premis pelancongan yang terlibat dalam aktiviti berkaitan jenayah hidupan liar.
































