KOTA KINABALU: Enam syarikat tempatan Sabah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 atas kecemerlangan prestasi, inovasi serta daya saing dalam sektor perindustrian dan keusahawanan.
Enam syarikat berkenaan ialah Brown Eyes Production, The Best Solution Management Sdn. Bhd., Twinine Sdn. Bhd., Kedai Emas Osheen Jaya Sdn. Bhd., Onaki Sdn. Bhd. dan Jetsin Sdn. Bhd.
Brown Eyes Production memenangi kategori Usahawan IKS Tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM1 juta, manakala kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM5 juta dimenangi oleh The Best Solution Management Sdn. Bhd.
Bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM10 juta, anugerah dimenangi oleh Twinine Sdn. Bhd., sementara kategori jualan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta dimenangi oleh Kedai Emas Osheen Jaya Sdn. Bhd.
Onaki Sdn. Bhd. pula muncul pemenang bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM50 juta, manakala kategori terbuka iaitu syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM50 juta atau syarikat milik asing dimenangi oleh Jetsin Sdn. Bhd.
Kesemua anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 di sini, semalam.
Ketika berucap, Ewon berkata, AKIS merupakan platform penting untuk mengiktiraf syarikat tempatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang serta menjadi contoh kepada pemain industri lain di negeri ini.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi diharap mampu mencetuskan inspirasi kepada lebih ramai usahawan Sabah untuk menceburi bidang keusahawanan dan perindustrian yang berdaya saing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, AKIS yang diperkenalkan pada tahun 2007 dan dianjurkan setiap dua tahun kini melangkah ke dekad baharu pelaksanaannya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem industri yang mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata, AKIS bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan syarikat dan usahawan tempatan, malah menggalakkan daya saing sihat, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyerlahkan amalan terbaik dalam pengurusan dan operasi syarikat.
Penganjuran AKIS 2024/2025 yang bertemakan “Moving Towards Excellence” bertujuan memperkasa budaya kecemerlangan pengurusan, mengiktiraf pencapaian organisasi serta menggalakkan pengeluaran produk bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran.
Dalam majlis sama, seramai 50 peserta Program Transformasi Usahawan Sabah turut diraikan menerusi bimbingan dan bantuan penambahbaikan pembungkusan serta pelabelan produk bagi memenuhi keperluan dan piawaian pasaran.
Sementara itu, Ewon menggesa lebih banyak syarikat di Sabah meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa bagi memastikan produk dan perkhidmatan tempatan mampu menembusi pasaran global.
Beliau berkata, berdasarkan data Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Singapura setakat Disember 2025, hanya 261 syarikat dari Sabah daripada 12,742 syarikat perusahaan Malaysia berdaftar dengan MATRADE.
“Ini menunjukkan keperluan untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan lebih banyak produk dan perkhidmatan syarikat tempatan memenuhi kehendak serta piawaian pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Menurut Ewon, antara fokus utama kementeriannya ialah pembangunan standard dan kualiti produk serta perkhidmatan usahawan tempatan, termasuk pematuhan kepada pensijilan antarabangsa seperti Halal, MESTI dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Beliau berkata, pembungkusan produk juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pengguna dan hasil pemerhatiannya menunjukkan peningkatan jualan selepas pembungkusan produk ditambah baik melalui program bimbingan kementerian.
Selaras dengan Wawasan Sabah First, Ewon berkata penskalaan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) akan terus diberi keutamaan melalui peningkatan keupayaan pengeluaran serta pemerkasaan kualiti dan standard produk serta perkhidmatan.
Mengenai AKIS, beliau berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada penerima anugerah dan syarikat lain untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang, memperkukuh inovasi dan bersaing di peringkat global.
“Semoga anugerah ini menjadi inspirasi untuk mencapai prestasi lebih tinggi ke arah merealisasikan aspirasi Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian menjelang tahun 2040,” katanya.
































