Masidi bergambar bersama mereka yang hadir pada Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Sabah 2026 di sini, malam tadi.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus mempertahankan hak perlembagaan negeri, termasuk kemajuan berkaitan mekanisme Pemberian Khas 40 peratus yang disifatkan penting bagi menjamin keadilan fiskal dan keupayaan negeri membiayai keperluan pembangunan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu merupakan antara keutamaan dalam Belanjawan Sabah 2026.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Sabah 2026 di sini, malam tadi.
Masidi berkata, Belanjawan Sabah 2026 dirangka berteraskan tema Mempercepat Pembangunan, Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat, selaras dengan keperluan memperkukuh kedudukan fiskal negeri sambil memastikan manfaat pembangunan dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
Menurutnya, belanjawan tersebut bukan sekadar satu set angka, sebaliknya mencerminkan keutamaan kerajaan, perancangan berdisiplin serta kontrak sosial antara kerajaan dan rakyat Sabah.
Beliau berkata, ketidaktentuan persekitaran global akibat geseran perdagangan, risiko geopolitik dan gangguan berkaitan iklim menuntut Sabah bersikap lebih berhemat, proaktif dan fokus dalam merangka dasar fiskal negeri.
“Bagi Sabah, ini bermakna kita perlu melindungi kedudukan fiskal, mempercepat pembangunan berimpak tinggi dan memastikan hasilnya benar-benar dirasai oleh rakyat biasa, bukan sekadar tercermin dalam angka utama,” katanya.
Menurut Masidi, Belanjawan Sabah 2026 dibina berasaskan lima teras utama iaitu mempercepat sektor produktif bagi merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan hasil negeri; menangani ketidakseimbangan sosioekonomi; memperkasa modal insan; memperkukuh prasarana asas dan kemudahan awam; serta meningkatkan keupayaan dan penyampaian kerajaan.
Dari segi fiskal, beliau berkata kerajaan negeri mencadangkan Anggaran Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil sebanyak RM6.430 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan RM28 juta.
Katanya, lebihan sederhana itu mencerminkan disiplin kewangan kerajaan negeri serta komitmen untuk berbelanja mengikut kemampuan sambil terus melabur demi masa depan Sabah.
Masidi turut menegaskan usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengalihkan tumpuan kepada perbelanjaan berasaskan pembangunan, termasuk merapatkan jurang antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.
Bagi tahun 2026, beliau berkata perbelanjaan pembangunan yang dicadangkan berjumlah RM1.865 bilion, manakala di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13, Sabah telah diluluskan siling peruntukan sebanyak RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 projek pembangunan, iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri.
Menurutnya, keutamaan pembangunan meliputi pengukuhan sektor pertumbuhan utama seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan, termasuk usaha memastikan keterjaminan makanan serta sokongan berterusan kepada petani, nelayan dan penternak.
Dalam sektor perindustrian, Masidi berkata tumpuan diberikan kepada pemudahcara pelaburan dan kesiapsiagaan ekosistem industri bagi menukar minat pelabur kepada hasil sebenar seperti peluang pekerjaan berkualiti, penyertaan vendor tempatan dan pemindahan teknologi.
Beliau berkata, sektor pelancongan pula dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah ketibaan, tetapi juga dari segi pengagihan manfaat kepada komuniti, kualiti produk dan pengalaman, serta kelestarian, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Masidi berkata, kesejahteraan rakyat kekal menjadi teras belanjawan menerusi kesinambungan bantuan kebajikan, sokongan bersasar kepada kumpulan rentan, bantuan pendidikan serta komitmen berterusan terhadap pembasmian kemiskinan.
Beliau turut menekankan keperluan mempercepat penyampaian prasarana asas dan utiliti seperti bekalan air, jaringan jalan raya, akses luar bandar dan kemudahan asas lain bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta keyakinan pelabur.
Dalam aspek tadbir urus, Masidi berkata kerajaan negeri terus memperkukuh daya tahan hasil dengan menambah baik tadbir urus kutipan, menutup ketirisan serta memodenkan pentadbiran melalui sistem digital dan tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan.
Beliau menegaskan, kredibiliti sesuatu belanjawan bergantung kepada keberkesanan pelaksanaannya dan menggesa semua pihak memberi pandangan, penelitian serta kerjasama bagi memastikan Belanjawan Sabah 2026 mencapai hasil yang dihasratkan.
“Jika kita dapat menyelaraskan keutamaan dan pelaksanaan, Belanjawan 2026 boleh menjadi titik perubahan kepada pembangunan yang lebih pantas, keyakinan yang lebih kukuh dan kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat Sabah,” katanya.
Antara yang hadir, Pembantu Menteri Kewangan, Dato’ Sr. Mohd. Ishak Ayub; Pengarah Perbendaharaan dan Pasaran,
Bank Islam Malaysia Berhad, Azdini Nor Azman; Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Securities, Dr. Rosnani Rasul.
































