Masidi (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada Dr. Yusuf.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada Sabah Development Berhad (SDB) di pejabat beliau, di sini hari ini.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Pengerusi SDB, Datuk Dr. Yusuf Yacob bersama barisan pengurusan SDB dan diadakan sebagai platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Masidi menegaskan kepentingan tanggungjawab institusi serta keperluan membina asas pengurusan dan perancangan yang kukuh bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri.
Beliau turut menyentuh peranan SDB dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan projek yang bukan sahaja berimpak ekonomi, malah mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat Sabah.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi hala tuju strategik serta peluang kerjasama melibatkan sektor pelaburan, pembangunan hartanah dan inisiatif ekonomi strategik yang selaras dengan agenda pembangunan negeri.
SDB menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan profesional, serta memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Masidi (empat dari kanan) bersama Dr. Saat dan rombongan KOPEKS.
Pada hari yang sama, Masidi turut menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Berhad (KOPEKS), Datuk Dr. Haji Saat Ag. Damit, Ketua Pegawai Eksekutif Buvil Angkui, serta rombongan.
Dalam pertemuan tersebut, beliau mengemukakan cadangan strategik kepada KOPEKS bagi memperkukuh usaha penjanaan pendapatan dan meningkatkan keberkesanan operasi koperasi.
Masidi turut menekankan kepentingan koperasi memanfaatkan peluang perniagaan sedia ada serta berinovasi dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan ahli dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.


































