Masiung menerima cenderamata daripada Wong.
KOTA KINABALU: Transformasi pendidikan memerlukan hubungan dua hala antara institusi pendidikan dan kerajaan, namun kawalan akses digital dalam kalangan pelajar kini menuntut satu garis panduan mendesak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menegaskan penyalahgunaan media sosial tanpa kawalan dalam kalangan pelajar hari ini adalah “virus” yang memerlukan reformasi menyeluruh.
“Kawalan akses digital dalam kalangan pelajar wajar digubal segera supaya ia tidak menjadi lebih parah,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Apresiasi & Anugerah Cemerlang Tahun 6 Sekolah Rendah Sacred Heart 2025, hari ini.
Masiung berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) wajar menjalin kerjasama merangka dasar baharu mengawal akses digital bagi golongan pelajar.
Masiung menegaskan langkah itu penting, khususnya bagi murid sekolah rendah dan pelajar menengah, agar mereka memahami batas penggunaan media sosial, terutama berkaitan penyebaran maklumat palsu.
Beliau bimbang gelombang digital tanpa sempadan dalam kalangan pelajar pelbagai peringkat telah menyumbang kepada risiko kemerosotan pendidikan dan ia harus ditangani berpandukan dasar serta undang-undang yang jelas.
“Kerajaan wajar mendengar isu ini kerana kami sebagai pemimpin di peringkat negeri dan ibu bapa sudah lama menyuarakannya, namun belum ada tindakan sewajarnya.
“Usaha Kerajaan memartabatkan modal insan akan menemui jalan buntu selagi reformasi memerangi penyalahgunaan digital dalam kalangan pelajar tidak diatasi,” tambahnya.





















