Masidi membentangkan Belanjawan Sabah 2026 hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mendengar rintihan dan keresahan rakyat berkaitan kemudahan infrastruktur asas yang masih belum menemui penyelesaian secara tuntas.
Bagi itu, komitmen Kerajaan bagi menyelesaikan isu berkenaan terzahir dengan penyediaan siling peruntukan lebih besar kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti serta jabatan di bawahnya berjumlah RM4.80 bilion bersamaan 39.92 peratus daripada keseluruhan siling RMKe-13 bagi melaksanakan 318 projek pembangunan, iaitu 106 projek sambungan dan 212 projek baharu, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut beliau, di bawah RMKe-13, siling peruntukan sebanyak RM2.67 bilion diluluskan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membiayai 173 projek, iaitu 49 projek sambungan dan 124 projek baharu.
Beliau menambah, peruntukan sebanyak RM600.69 juta disediakan pada tahun hadapan untuk pengoperasian dan pelaksanaan projek jalan raya, jambatan, cerun, bangunan kerajaan serta program pengurusan trafik dan keselamatan jalan raya. Peruntukan tersebut juga bagi menampung kerja pembaikan dan pemulihan cerun akibat kejadian tanah runtuh, antaranya di Jalan Tambunan dan Jalan Keningau-Kimanis.
“Kerajaan Sabah telah memperuntukkan siling peruntukan sebanyak RM1.77 bilion kepada Jabatan Air Sabah di bawah RMKe-13 dengan 77 projek pembangunan iaitu 26 projek sambungan dan 51 projek baharu. Pada tahun hadapan, sebanyak RM848 juta disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan jabatan ini. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah pembinaan dan naik taraf Loji Rawatan Air baharu di Papar, Lahad Datu, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan, selain kerja penggantian pam untuk meningkatkan kecekapan operasi sistem sedia ada,” kata Masidi ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 hari ini.
Beliau menegaskan, penyelenggaraan aset-aset kritikal seperti LRA Telibong II, Sistem Bekalan Air Bandar, LRA Milau Kudat serta LRA Segaliud Sandakan turut diberi keutamaan. Usaha ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan bekalan air terawat berkualiti, menyeluruh dan berterusan dapat dinikmati oleh setiap rakyat Sabah.
Bagi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS), siling peruntukan sebanyak RM347.84 juta diluluskan di bawah RMKe-13 dengan 65 projek pembangunan iaitu 28 projek sambungan dan 37 projek baharu.
Masidi berkata, Kerajaan Sabah memperuntukkan RM203.91 juta kepada JPPS bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan pada tahun 2026. Antara projek utama termasuk pembaikan paip pembetungan kritikal di Kota Kinabalu dan Tawau serta pembinaan Loji Enap Cemar Ranau.
“Melalui Pinjaman Persekutuan, JPPS akan meneruskan pelaksanaan beberapa projek sambungan seperti Skim Pembetungan di Tambunan, Sandakan, Ranau, Putatan, Kota Marudu, KKIP, Lahad Datu dan Cadangan Kajian Rekabentuk dengan peruntukan RM89.80 juta. Bagi projek baharu, tumpuan diberikan kepada pembinaan Loji Enap Cemar Papar, Penampang, Kudat dan Projek Menaik Taraf Kolam Pengoksidaan Inanam dengan peruntukan RM30.01 juta,” jelas beliau.
Selain itu, dua projek berimpak tinggi iaitu Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Kinabalu Selatan dan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Tadahan Bandar Tuaran akan dilaksanakan dengan peruntukan RM20 juta.
Dalam aspek kelestarian biodiversiti dan sumber semula jadi, Masidi menyatakan, Kerajaan Sabah memperuntukkan RM195.56 juta pada 2026 bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berunsur kelestarian dengan menitikberatkan elemen Udara, Air, Biodiversiti dan Sosial. Kerajaan juga memperuntukkan RM144 juta kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk mengurus dan memberi fokus kepada pemeliharaan sumber dan aset semula jadi melalui tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Beliau menambah, susulan kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, jabatan berkenaan akan meneruskan usaha meneroka potensi hasil baharu melalui pasaran karbon domestik dan antarabangsa bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mencapai sifar bersih menjelang 2050. Unit Perubahan Iklim Jabatan Perhutanan bersama Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah akan mengukur, melapor dan mengurus penyerapan karbon daripada hutan negeri.
Masidi juga menjelaskan, di bawah RMKe-13, siling peruntukan sebanyak RM14.78 juta diluluskan kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar bagi melaksanakan lapan projek pembangunan, manakala RM8.89 juta diperuntukkan pada 2026 untuk meneruskan pelbagai inisiatif perlindungan alam sekitar. Bagi perlindungan dan kelestarian hidupan liar, RM22.65 juta diluluskan untuk 13 projek pembangunan manakala RM35.55 juta disediakan pada 2026 untuk perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan program kesedaran, penguatkuasaan serta perlindungan hidupan liar termasuk usaha menangani konflik hidupan liar dengan manusia.
“Kerajaan Sabah turut mengorak langkah dalam eksplorasi sumber biologi melalui perkembangan bioteknologi yang merupakan salah satu potensi sumber kekayaan negeri. Justeru itu, sebanyak RM2.08 juta diperuntukkan kepada Pusat Biodiversiti Sabah pada 2026 untuk pengoperasian dan pelaksanaan program pembangunan yang memberi manfaat dalam sektor industri, perubatan dan pertanian,” kata Masidi.
































