Masidi membentangkan Belanjawan Sabah 2026.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM84.40 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah bagi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan pelbagai program untuk memastikan kebajikan serta adat resam anak negeri terus terpelihara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah peruntukan tersebut, RM69.98 juta adalah bagi bayaran elaun dan pentadbiran untuk Ketua-Ketua Adat Negeri, manakala RM2.70 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan.
Bagi pembangunan di bandar dan luar bandar, Masidi berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) serta jabatan dan agensi di bawahnya akan menerima peruntukan sebanyak RM257.44 juta bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), siling peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM280.19 juta untuk 70 projek pembangunan, termasuk 24 projek sambungan dan 46 projek baharu.
Beliau menjelaskan bahawa sebanyak RM11.14 juta diperuntukkan pada 2026 bagi pemberian kapital kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan pelbagai projek sambungan dan baharu di seluruh Sabah. Antara projek utama termasuk Pembinaan Tamu Minggu Melalap, menaik taraf Dewan Komuniti Kota Marudu, serta pembinaan terminal bas dan pasar baharu di Beaufort dan Keningau. Projek-projek ini bukan sahaja akan memperkukuh infrastruktur asas pentadbiran dan perdagangan tempatan, malah turut mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk peniaga kecil serta memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan Kerajaan Tempatan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masidi menekankan bahawa Kerajaan kekal komited memastikan rakyat menikmati persekitaran yang bersih, sihat dan berkualiti.
Justeru, pelbagai usaha akan dilaksanakan termasuk menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal di Semporna, Keningau, Papar, Beaufort, Kudat dan Tawau, melaksanakan inisiatif pengurangan sisa ke tapak pelupusan, serta meneliti Model Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu bagi menyelaras pelaksanaannya antara PBT dan kementerian serta menggalakkan penyertaan sektor swasta.
Kerajaan Sabah juga memberi keutamaan kepada pembangunan perancangan bandar dan wilayah yang seimbang, termasuk kawasan perairan, agar lebih teratur, progresif dan mampan. Bagi tujuan ini, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah diperuntukkan sebanyak RM6.57 juta pada tahun hadapan, termasuk RM500 ribu khusus bagi pembangunan pelan-pelan daerah di Semporna dan Kunak.
Masidi menegaskan bahawa kesemua inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat, memperkukuh infrastruktur tempatan, dan memastikan pembangunan bandar serta luar bandar di Sabah berjalan selaras dengan prinsip kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.
































