Hajiji bersama pemimpin parti itu pada Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat di SICC hari ini.
KOTA KINABALU: Cabaran politik yang dihadapi sejak 2020 telah memperkukuh semangat perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Pengerusinya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau menegaskan perpaduan kekal sebagai kunci kekuatan politik negeri ini.
Beliau berkata, gabungan itu ditubuhkan berasaskan aspirasi rakyat Sabah yang mahu menentukan hala tuju sendiri tanpa bergantung kepada pengaruh politik luar, selain mempertahankan kepentingan negeri dengan penuh keyakinan dan maruah.
“Ini sebabnya GRS ditubuhkan, dan daripada perjuangan itu lahir Parti Gagasan Rakyat Sabah sebagai tonggak utama untuk memastikan asas politik Sabah kekal kukuh, stabil dan berteraskan rakyat negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Khas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Presiden Gagasan Rakyat berkata, perkembangan politik negeri menunjukkan perpaduan sering diuji, khususnya apabila pilihan raya semakin hampir dan kepentingan peribadi mula menjadi pertimbangan.
Beliau berkata, pengalaman itu memberi pengajaran penting dalam membentuk hala tuju masa depan gabungan, terutama dalam memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Pada masa lalu, mereka yang lantang bercakap tentang perpaduan dan kekuatan tempatan juga merupakan pihak yang memilih haluan berbeza apabila diuji. Ada yang keluar, ada yang bergerak sendiri dan ada yang meninggalkan perjuangan apabila kedudukan tidak memihak kepada mereka.
“Kita hormati keputusan mereka, namun rakyat boleh menilai siapa yang benar-benar berjuang untuk Sabah,” katanya.
Hajiji menegaskan perjuangan politik sebenar diukur melalui keupayaan mengetepikan kepentingan peribadi demi kekuatan dan kestabilan bersama.
“Jika kita mahu Sabah menjadi kuat, kekuatan itu tidak boleh lahir daripada perpecahan atau persaingan ego. Setiap cabaran harus menjadikan kita lebih kuat, matang dan bersatu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin agar tidak terlalu terperangkap dalam retorik mengenai siapa lebih lokal atau lebih lantang, sebaliknya memberi tumpuan kepada keperluan rakyat seperti peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi, masa depan anak-anak serta kerajaan yang stabil.
“Itulah ukuran sebenar politik. Jika kita lupa perkara ini, mungkin kita menang di pentas ucapan tetapi kehilangan keyakinan rakyat,” katanya.
Hajiji menambah, Kerajaan GRS walaupun mewarisi cabaran ekonomi dan ketidaktentuan politik ketika pandemik, memilih untuk memberi fokus kepada pembaharuan tadbir urus, kestabilan dan pembangunan jangka panjang menerusi kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).




























