Shahelmey (tengah) bersama Ahmad Sah (kiri) dan Shah Alfie melakukan upacara menuai padi.
PUTATAN: Sambutan Pesta Kaamatan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, berkata perayaan yang diraikan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) itu wajar dijadikan simbol penyatuan rakyat di Putatan dan Sabah secara keseluruhan.
Beliau berkata, selari dengan tema tahun ini “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, sambutan tersebut amat signifikan dalam menyemai semangat ukhuwah serta keharmonian tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman.
“Perayaan seperti Kaamatan harus diangkat sebagai wadah perpaduan antara semua kaum di Putatan dan seterusnya di Sabah.
“Keharmonian yang diwarisi daripada generasi terdahulu perlu terus dipelihara kerana ia adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan perpaduan kekal utuh,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Menurutnya, sambutan Kaamatan kini bukan sahaja diraikan oleh masyarakat KDMR, malah turut disambut oleh pelbagai kaum lain sehingga menjadi simbol penting kepada identiti negeri dan negara.
Turut hadir, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya serta Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.
Seramai 10 peserta berentap dalam pertandingan akhir tersebut bagi merebut peluang mewakili Putatan ke peringkat negeri yang akan berlangsung pada kemuncak Kaamatan, 31 Mei ini.
































