Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Kerajaan akan memperketat kawal selia serta mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu termasuk cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperkukuh kerangka perundangan berkaitan penggunaan fleet card.
Menurutnya, peraturan baharu itu akan menyediakan garis panduan lebih jelas melibatkan tanggungjawab pemegang fleet card, syarikat minyak serta kesalahan dan hukuman terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.
“Tindakan ini diambil susulan wujudnya modus operandi melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol melalui penyalahgunaan fleet card.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan terus memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan di peringkat lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sejak 2023 hingga 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah SKDS dan SKPS telah disekat hasil tindakan penguatkuasaan.
“Mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan fleet card bagi tujuan penyelewengan subsidi akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, pelaksanaan SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan kini diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, permohonan pendaftaran bagi syarikat terlibat telah dibuka sejak 4 Mei lalu melalui portal MySubsidi, dengan 23 kategori kenderaan layak menikmati subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi mempromosi produk tempatan serta memperkukuh permintaan terhadap barangan keluaran usahawan tempatan.
































