Hajiji bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali melihat produk tempatan, termasuk Sigah, di salah satu gerai semasa program di SICC.
KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Negeri memperkasa usahawan tempatan berjaya meningkatkan kebolehpasaran produk Sabah ke peringkat antarabangsa dengan merekodkan potensi jualan RM95.9 juta pada 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu didorong oleh penyertaan 124 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa.
“Prestasi ini menunjukkan peningkatan 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan produk Sabah mempunyai kualiti dan potensi besar untuk bersaing di pasaran global,” katanya pada Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pada 2026, Kerajaan Negeri akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam pelbagai ekspo utama di negara seperti Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis.
“Langkah ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada usahawan Sabah, tetapi turut memperkenalkan identiti dan keunikan produk tempatan ke persada dunia,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MINDET) telah diberi mandat penting untuk memperkukuh pembangunan sektor keusahawanan dan industri tempatan.
Sehingga 2025, seramai 5,879 usahawan tempatan telah mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif sokongan, termasuk bantuan mesin dan peralatan perniagaan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Hajiji menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana dan pemain industri amat penting dalam memperkukuh ekonomi domestik serta mengangkat produk tempatan.
Beliau turut menggesa usahawan agar merebut peluang untuk memasarkan produk berkualiti tinggi dan unik ke pasaran lebih luas, memandangkan ramai masih beroperasi secara kecil-kecilan dengan kekangan dari segi penjenamaan dan pemasaran.
“Terdapat produk yang sangat baik tetapi tidak dipasarkan secara agresif, manakala ada yang berkualiti tinggi namun masih lemah dari segi penjenamaan dan pembungkusan,” katanya.
Beliau menggesa usahawan keluar daripada zon selesa serta berani melakukan perubahan, belajar dan meneroka peluang baharu.
“Untuk menembusi pasaran global, kita perlu bersedia dalam semua aspek. Kualiti produk mesti konsisten, pembungkusan memenuhi piawaian antarabangsa dan kita juga perlu memahami citarasa pengguna moden,” katanya.
Hajiji turut menekankan potensi menggabungkan produk tempatan dalam sektor pelancongan Sabah yang merekodkan 10.67 juta ketibaan pelancong dan RM23.42 bilion hasil pelancongan dari 2021 hingga 2025.
Beliau menggalakkan usahawan memanfaatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta platform seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) untuk mempromosikan produk mereka.
KBBM mencatatkan jualan RM7.4 bilion pada 2024, meningkat daripada RM6.5 bilion pada 2023 dan RM2.7 bilion pada 2022, menunjukkan sokongan pengguna terhadap barangan tempatan semakin kukuh.
Sementara itu, sektor perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan nilai jualan RM1.87 trilion pada 2025, meningkat daripada RM1.766 trilion pada 2024, mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik dan keyakinan pengguna.
“KBBM bukan sekadar platform jualan, tetapi ruang untuk membina rangkaian, memperkukuh jenama dan menembusi pasaran lebih besar,” katanya sambil menggesa usahawan Sabah menjalin kerjasama strategik dalam negeri serta dengan rakan industri di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
































