Julita Majungki
MATUNGGONG: Parti Bersatu Sabah (PBS) komited mempertahankan hak rakyat serta meneruskan agenda pembangunan di kawasan ini.
Setiausaha Agung PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, kekuatan parti itu dibina melalui semangat perpaduan, kesetiaan ahli serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat setempat.
“Walaupun kini berusia 41 tahun, PBS di sini masih berdiri kukuh dan terus memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri untuk memastikan hak dan pembangunan rakyat terus dipertahankan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Matunggong Kali Ke-41 di Dewan Mini KDCA Matunggong di sini hari ini.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat berkata, pelbagai usaha pembangunan telah dan sedang dilaksanakan termasuk kerja naik taraf jalan kampung, pembinaan dewan komuniti, pembinaan jambatan baharu di Kampung Inukiran serta pembinaan Rumah SMJ.
Selain itu, dua dewan komuniti baharu turut sedang dibina termasuk sebuah di Kampung Toporoi dan satu lagi di Kampung Angkob bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Dalam sektor pendidikan pula, Julita berkata, hampir RM80,000 telah diperuntukkan sebagai insentif kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebagai usaha menggalakkan kecemerlangan akademik dalam kalangan anak-anak tempatan.
“Komitmen untuk membangunkan kawasan ini akan terus menjadi keutamaan dan dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama erat dengan kementerian serta agensi kerajaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada daerah penuh terus menjadi agenda utama kerana ia penting bagi mempercepat pembangunan dan penyediaan kemudahan kerajaan.
Menurutnya, kawasan tanah pekan Matunggong itu sedang dalam proses untuk disusun semula dan dimuktamadkan bagi pembangunan kemudahan pentadbiran seperti pejabat kerajaan, balai polis, bomba, hospital dan institusi pendidikan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Julita menyeru seluruh ahli PBS untuk terus mengekalkan perpaduan dan semangat kekeluargaan dalam parti, khususnya menjelang pemilihan bahagian dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau yakin kerjasama erat sebagai salah satu parti komponen di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik demi masa depan rakyat di kawasan Kota Marudu dan Matunggong.
Dalam persidangan tersebut, PBS Bahagian Matunggong turut mengemukakan usul menyokong Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam untuk dipilih sebagai Presiden PBS tanpa bertanding.
Bahagian itu juga menyatakan sokongan kepada Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden tanpa bertanding semasa pemilihan parti pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS tahun ini.
“Usul berkenaan mencerminkan keyakinan serta sokongan padu akar umbi terhadap kepimpinan parti dalam memastikan kesinambungan perjuangan, kestabilan serta hala tuju PBS demi kepentingan rakyat Sabah,” kata Julita.
Turut hadir Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun; Ketua Pemuda PBS, Datuk Dr. Christopher Mandut; Timbalan Ketua Bahagian PBS Matunggong, Epson Kawahui; Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Matunggong, Datuk Barlus Mangabis; Ketua Bahagian Parti Cinta Sabah (PCS) Matunggong, Tommy Molukis; dan Ketua Bahagian Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Matunggong, Alfred Pain.
































