Masidi membentang Belanjawan Sabah 2026.
KOTA KINABALU: Satu kajian kebolehlaksanaan pembinaan Stadium Utama Kota Kinabalu akan dimulakan pada tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) sebagai usaha meningkatkan prasarana sukan negeri ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun yang mengumumkan ini berkata, Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif pada tahun hadapan untuk Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan.
Daripada jumlah itu, RM16.75 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan modal insan belia serta pemberian geran kepada persatuan-persatuan belia, manakala RM27.21 juta diperuntukkan untuk pembangunan kemajuan sukan.
Membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Masidi menekankan bahawa golongan belia adalah aset berharga dan peneraju kepemimpinan masa depan Sabah, justeru kerajaan amat memahami aspirasi serta keperluan mereka bersama penggiat sukan.
Beliau turut merakamkan tahniah atas kejayaan atlet Sabah, termasuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan di Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22 tahun 2025 untuk dua tahun berturut-turut. Antara atlet yang mengharumkan nama Sabah di peringkat antarabangsa termasuk Nor Farah Mazlan, Mohd. Shahrul Zeckry Sulaiman, Siti Nur Khairunissa Hail dan Sazzlan Yuga (Pencak Silat), Zmarul Al Adam, Meilaura Dora Jimmy dan Nazri Pulong (Bina Badan), Jellson Jabilin (Terjun) serta Ealtond Rayner (E-Sport).
Kerajaan juga mengucapkan tahniah kepada kontinjen Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) yang muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65, 2025.
Masidi turut memberi penghargaan kepada pasukan bola sepak Sabah FC yang mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas 27 tahun, kali terakhir pada 1998, dan menjemput rakyat memberi sokongan apabila mereka bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 14 Disember 2025.
Bagi memperkukuh kecemerlangan sukan Sabah, RM20 juta diperuntukkan kepada MSNS untuk program pencarian bakat atlet, latihan atlet berprestasi tinggi, serta persediaan atlet Paralimpik menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Selain itu, RM5.05 juta diperuntukkan bagi pemberian geran kepada 54 Persatuan Sukan di Sabah, manakala RM800,000 diperuntukkan untuk pelaksanaan Sukan Massa bagi menarik penyertaan masyarakat. RM25 juta juga diperuntukkan kepada Lembaga Sukan Sabah bagi Perbelanjaan Mengurus untuk memastikan prasarana sukan sentiasa terjaga dan diselenggara bagi dimanfaatkan rakyat.
Di bawah RMKe-13, siling peruntukan sebanyak RM445.63 juta diluluskan untuk 20 projek pembangunan sukan, termasuk enam projek sambungan dan 14 projek baharu. RM10.05 juta diperuntukkan pada 2026 khusus untuk pembinaan dan penambahbaikan prasarana sukan di seluruh Sabah, selari dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat.
Masidi menegaskan, Kerajaan komited memastikan pembangunan belia dan sukan terus menjadi fokus utama, bagi memupuk bakat, kepimpinan dan kesejahteraan generasi muda Sabah.































