KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memperuntukkan sebanyak RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), termasuk jabatan dan agensi di bawahnya, bagi melaksanakan pelbagai agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat pada tahun 2026.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara program yang disediakan adalah Program Bantuan Sosial Sekolah dengan peruntukan RM26.06 juta, memberi manfaat kepada 227,660 murid Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di 1,074 buah sekolah seluruh Sabah. Bantuan ini merangkumi pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis.
Selain itu, RM71.29 juta diperuntukkan untuk Program Bantuan Kebajikan yang merangkumi skim bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, skim bantuan anak yatim serta program bantuan makanan kepada golongan daif dan miskin.
“Tabung Rayuan Derma-Derma menerima RM10.05 juta bagi menampung bantuan kepada mangsa kejadian bencana alam seperti kebakaran, banjir dan tanah runtuh. Sementara itu, RM4.02 juta diperuntukkan bagi Bantuan Yuran Kesihatan Caj Rawatan Hemodialisis di fasiliti kesihatan kerajaan untuk menampung seramai 2,182 pesakit buah pinggang,” kata ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini
Bagi kanak-kanak Autisme, RM670,000 diperuntukkan untuk menambah Pusat Autisme Sabah (PAUS) di daerah Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort secara berfasa mulai 2026. PAUS Kota Kinabalu (Sembulan) telah beroperasi dengan baik dan berjaya menempatkan 55 kanak-kanak Autisme di Kota Kinabalu.
Kerajaan juga memperuntukkan RM500,000 untuk melaksanakan Program Kasih dan Kongsi yang baharu diperkenalkan pada 2026, bertujuan membantu transformasi pendidikan awal kanak-kanak di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak pedalaman Sabah. Program Homeward pula akan diteruskan bagi membantu golongan rentan seperti pesakit terlantar dan OKU.
Selain itu, RM3.2 juta diperuntukkan kepada Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) untuk memperkukuh hubungan antara masyarakat dan kerajaan melalui pertubuhan sukarela kebajikan sosial atau NGO, serta pelaksanaan Program Bantuan Sarapan Sihat bagi 750 kanak-kanak di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah juga menitikberatkan keadaan institusi-institusi kebajikan seperti Rumah Warga Tua, Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya, termasuk Pejabat Kebajikan di semua daerah. Oleh itu, sebanyak RM4.37 juta diperuntukkan untuk pengoperasian dan penyelenggaraan institusi berkenaan bagi memastikan fungsi mereka berjalan dengan baik, kondusif dan selamat.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), KWKKR diluluskan siling peruntukan sebanyak RM39.83 juta untuk melaksanakan 12 projek, termasuk lapan projek sambungan dan empat projek baharu. RM12.69 juta akan diperuntukkan pada 2026 untuk memulakan projek baharu iaitu pembinaan Taman Didikan Kanak-Kanak Kelainan Upaya di Daerah Nabawan, selain meneruskan lapan projek sambungan.
Masidi berkata, Kerajaan melalui KWKKR juga akan melaksanakan pelbagai program kesedaran termasuk Program Kekeluargaan, Kesihatan, Kepenggunaan dan Kepimpinan Wanita dengan peruntukan RM960,000 bagi memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan gaya hidup sihat. RM550,000 turut diperuntukkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah untuk terus melaksanakan program kesedaran dan pencegahan dadah terutamanya kepada pelajar, belia dan masyarakat pada tahun hadapan.
Bagi pembangunan wanita, sebanyak RM8.24 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk operasi dan pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan wanita. Antara program baharu pada 2026 termasuk JHEWA BizBloom yang memfokuskan pembangunan ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal dan wanita B40, Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul, Program Kepimpinan Wanita Berwibawa, Program Latihan dan Kemahiran Usahawan serta Program Pembangunan dan Promosi Produk.
Beliau menekankan, Kerajaan amat menghargai sumbangan kaum hawa yang melahir, membesar dan mendidik generasi pelapis masa hadapan, serta komited memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan wanita terus diberi keutamaan.
































