Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menekankan komitmen berterusan terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai asas untuk memacu ekonomi negeri ke arah aktiviti bernilai tinggi dan berorientasikan pengetahuan.
Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun berkata, Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat, khususnya institusi pendidikan dan kebajikan para pelajar yang bakal menerajui Sabah pada masa depan.
“Oleh itu, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti serta memberi peluang kepada lebih ramai anak watan Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, pelbagai bantuan pendidikan berbentuk dana dan kemudahan telah disediakan oleh Kerajaan Sabah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masidi berkata, antara bantuan utama yang diteruskan adalah biasiswa, dermasiswa dan bantuan kepada pelajar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah.
Selain itu, 13 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada juga akan diteruskan pada tahun hadapan. Antaranya termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Masidi turut mengumumkan bantuan baharu iaitu Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU) sebanyak RM150 seorang, yang dijangka memberi manfaat kepada seramai 8,458 pelajar yang akan menduduki peperiksaan MUET pada tahun 2026.
Beliau menambah, agensi lain seperti Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menawarkan pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, termasuk dana biasiswa dan program sokongan akademik lain.
Pembangunan Modal Insan
Masidi berkata, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi merupakan platform terbaik untuk membawa ekonomi Sabah beralih kepada aktiviti bernilai tinggi dan berorientasikan pengetahuan. Menurut beliau, pelaburan dalam modal insan bukan sahaja penting untuk meningkatkan status sosial individu, malah turut menyumbang kepada status ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat.
“Justeru itu, pada tahun hadapan, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta untuk tujuan memperkasa dan membangunkan modal insan bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga aspek spiritual,” kata beliau.
Di bawah RMKe-13, siling peruntukan sebanyak RM112.4 juta diluluskan bagi membiayai 36 projek di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Antara program pembangunan modal insan yang menjadi tumpuan termasuk:
* Pembangunan dan operasi hal ehwal agama Islam, termasuk Sekolah Agama Islam dan masjid di bawah JHEAINS dengan peruntukan RM151.08 juta.
* Pembangunan keagamaan dan institusi keagamaan bukan Islam serta sekolah mubaligh dan persendirian dengan peruntukan RM90 juta.
* Pembangunan dan operasi perkhidmatan perpustakaan, termasuk Perpustakaan Desa dan Perpustakaan Bergerak, berjumlah RM47.3 juta.
* Kursus dan latihan dalam bidang bahasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM), inovasi dan teknologi digital, minyak dan gas, hospitaliti, keselamatan dan kesihatan, pertanian serta latihan di sektor perladangan kelapa sawit di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi dengan peruntukan RM39.24 juta.
* Pelaksanaan pelbagai program latihan dan kursus kemahiran termasuk operasi di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan peruntukan RM27.96 juta.
* Pelaksanaan kursus berkaitan pertanian tanaman, perikanan dan penternakan di Jabatan, Agensi dan Institusi MAFFI dengan peruntukan RM32.85 juta.
Infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan Kerajaan berasaskan teknologi maklumat, sebanyak RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Daripada jumlah tersebut, RM9.59 juta bertujuan untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan, termasuk pembekalan komputer dan rangkaian ICT kepada agensi kerajaan, pengurusan pusat data, keselamatan siber dan pembangunan sistem aplikasi Kerajaan.
Di bawah RMKe-13, JPKN diluluskan siling peruntukan sebanyak RM15.28 juta bagi membiayai tiga projek, termasuk satu projek sambungan dan dua projek baharu. Projek Pemasangan Pencawang Kecil dan Sederhana yang melibatkan 109 lokasi seluruh Sabah akan dimulakan pada tahun hadapan, dengan RM1.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek di 10 premis Kerajaan bagi meningkatkan capaian internet berkelajuan 100 Megabyte per second (Mbps).
Selain itu, Sabah Net Sdn. Bhd. akan terus menjadi tulang belakang utama infrastruktur digital Sabah dengan menyokong 1,000 premis kerajaan, 31 Pusat e-Desa dan 300 tapak Starlink untuk memastikan capaian internet berkelajuan tinggi dapat dinikmati rakyat di seluruh negeri.
Masidi menekankan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk melahirkan modal insan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan, selain memastikan akses pendidikan yang inklusif dan pembangunan digital yang seiring dengan keperluan rakyat.


































