Azmie (empat dari kiri) bergambar kenangan dengan semua yang hadir dalam majlis itu.
TENOM: Usaha memperkasa celik digital dalam kalangan murid luar bandar terus diperkukuh dengan pelancaran Serambi Digital SK Pulong 2025, satu inisiatif pendidikan yang memberi akses kepada kemahiran ICT asas, pembelajaran interaktif dan pendedahan awal kepada dunia inovasi.
Majlis perasmian tersebut pada hari ini disempurnakan oleh Pengerusi Pertubuhan Al Ikhlas Tenom (PAIT), Azmie Saman yang menyifatkan program itu sebagai langkah penting dalam memastikan generasi muda di kawasan pedalaman tidak tercicir dalam perkembangan teknologi semasa.
Azmie berkata, hasrat melahirkan murid yang kreatif, kritis dan berdaya saing memerlukan pendekatan pembelajaran yang selari dengan keperluan abad ke-21, termasuk penggunaan peranti digital, aplikasi pembelajaran dan platform dalam talian.
“Kanak-kanak hari ini bukan sahaja perlu tahu membaca, menulis dan mengira, tetapi juga perlu celik teknologi serta mampu belajar secara kreatif. Serambi Digital ini menjadi ruang subur untuk membentuk murid yang bersedia menghadapi dunia masa depan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa murid SK Pulong akan didedahkan kepada kemahiran asas ICT, penggunaan aplikasi pembelajaran digital, serta pengenalan kepada pengaturcaraan dan robotik ringkas bagi menanam minat terhadap inovasi.
Azmie turut memperkenalkan peranan Pertubuhan Al Ikhlas Tenom (PAIT) yang aktif melaksanakan program sosial dan pendidikan untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat setempat.
“Di bawah naungan PAIT, kami melaksanakan pelbagai program untuk memperkasakan pendidikan dan menggalakkan budaya gotong-royong. Dengan sokongan berterusan, kami mahu terus memberi impak positif kepada komuniti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi bukan sekadar penggunaan gajet, tetapi bagaimana ia membentuk cara berfikir, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi secara lebih efektif.
Katanya, Serambi Digital SK Pulong diharap mampu menjadi model pembelajaran digital bagi sekolah lain di daerah Tenom serta mengukuhkan ekosistem pembelajaran abad ke-21 di peringkat sekolah luar bandar.
Azmie turut menyeru ibu bapa, guru dan seluruh komuniti untuk menyokong inisiatif tersebut agar manfaatnya dapat dinikmati secara berkekalan.





















