Andrzej Bargiel jadi individu pertama di dunia menuruni Gunung Everest menggunakan ski.
KATHMANDU: Seorang warga Poland mencipta sejarah apabila muncul sebagai individu pertama yang berjaya mendaki Gunung Everest di negaranya dan menuruni gunung itu dengan ski tanpa bantuan oksigen.
Menurut Utusan Malaysia, pada ketinggian 8,849 meter, Gunung Everest digelar cabaran paling sukar untuk ditawan, tetapi bagi Andrzej Bargiel, 37, pendakian itu berubah menjadi aksi berani yang menampakkan seolah-olah ia mudah dilakukan.
“Saya berada di puncak gunung tertinggi dunia dan saya akan menuruni dengan ski,” umum Bargiel yang sempat berhenti di puncak untuk merakam video di Instagram.
Lebih 6,000 pendaki pernah menawan Everest, namun kurang daripada 200 melakukannya tanpa oksigen. Tiada seorang pun sebelum ini yang mencuba menuruni dengan ski selepas berjaya mendaki.
Selepas melalui zon maut pada ketinggian melebihi 8,000 meter di mana udara terlalu nipis untuk menyokong kehidupan, Bargiel mengenakan peralatan ski lalu memulakan luncurannya. Bermula pukul 3 petang waktu tempatan Isnin, dia meluncur secara berhati-hati ke Kem Dua pada ketinggian 6,400 meter.
Disebabkan keadaan gelap, dia berhenti bermalam sebelum meneruskan perjalanan sehingga sampai ke kem asas pada ketinggian 5,364 meter pada pagi Selasa.
Cabaran besar telah dihadapi sebelum aksi ski bersejarah itu bermula. Musim luruh biasanya dielakkan oleh pendaki kerana salji tebal, angin kencang, dan ketiadaan sokongan daripada ekspedisi lain.
Sepanjang pendakian selama empat hari, Bargiel bersama pemandunya, Dawa ‘Speed’ Sherpa, terkandas di zon maut akibat salji lebat baharu. Pada ketinggian lebih 8,000 meter, udara hanya mengandungi satu pertiga oksigen berbanding biasa, menjadikan tubuh manusia mustahil untuk menyesuaikan diri.
Bargiel terperangkap di kawasan itu selama 16 jam sebelum meneruskan pendakian, situasi yang biasanya dianggap membahayakan nyawa walaupun dengan oksigen tambahan.
“Pendakian kali ini amat sukar kerana pada musim ini tiada ekspedisi lain dibuka. Ketinggiannya luar biasa dan anda perlu benar-benar bersedia untuk mampu bertahan selama 16 jam di atas 8,000 meter,” katanya kepada Red Bull.
Lebih menakjubkan, Bargiel turut meluncur melalui Khumbu Icefall yang terkenal berbahaya laluan sejauh 2.57 kilometer dipenuhi rekahan glasier yang sentiasa bergerak, jambatan salji rapuh serta bongkah ais besar yang tergantung.


































