KUALA PENYU: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di Kampung Batu Linting, di sini, tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 1.15 tengah hari.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu yang diketuai Komander Operasi PBK II Mohd Razali Denah bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 21 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 1.44 tengah hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilaksanakan dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Hasil operasi, mangsa berjaya ditemui pada jam 1.45 tengah hari iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi dipercayai lemas.
Pegawai Perubatan KKM yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.57 petang.
































