PETALING JAYA: Sebanyak 14 buah syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini berkaitan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut didapati mempunyai lesen sah mengimport rokok.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, siasatan Op Sikaro masih berjalan dan antara yang dirakam keterangan itu termasuklah pengarah syarikat dan wakil syarikat.
“Setakat penggeledahan dan serbuan yang dibuat juga tiada keterangan yang menjurus kepada penggunaan setem palsu namun siasatan masih berjalan,” katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber berkata, sindiket itu dikesan melakukan pengisytiharan palsu (misdeclaration) semasa proses import dengan meletakkan kod kastam yang tidak tepat atau menukar butiran barang.
Pada 20 Ogos lalu, media melaporkan SPRM menggempur beberapa syarikat dipercayai terbabit penyeludupan tembakau, rokok dan cerut di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor.
Kegiatan haram itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak 2020 hingga 2024.
Sumber berkata, serbuan dijalankan ke atas premis perniagaan dan pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan tembakau, cerut dan pembekal minuman keras.
SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik persendirian dan akaun syarikat melibatkan nilai kira-kira RM218 juta dan sedang menyiasat bagi mengesan aset lain yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram oleh pegawai kastam yang disyaki terlibat serta syarikat pengimport.
Siasatan difokuskan kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001.


































