Liew bergambar bersama peserta Pertandingan Dart Terbuka Tawau.
TAWAU: “Jangan biarkan fitnah memecah-belahkan kita!” demikian tegas Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah ketika mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan dakyah politik pembangkang yang hanya mahu meraih sokongan tanpa menyumbang kepada pembangunan negeri.
Katanya, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, rakyat wajar memperkukuh semangat patriotisme serta menolak sekeras-kerasnya anasir politik yang menggugat perpaduan.
“Rakyat Sabah perlu kekal bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana inilah gabungan yang benar-benar bekerja untuk rakyat. Kita tidak boleh biarkan politik kebencian dan tipu daya menjadi racun dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Liew menegaskan, GRS bukan sahaja membawa kestabilan, malah terus fokus menyelesaikan isu akar umbi termasuk tanah, kemudahan asas, pembangunan luar bandar serta hak-hak rakyat Sabah.
“Contohnya, beberapa kampung di DUN Kukusan dan Merotai telah berjaya diwartakan sebelum pembubaran DUN – ini bukti jelas bahawa GRS bukan sekadar pandai berjanji, tetapi mampu melaksana. Kami bekerja sepanjang masa, bukan hanya muncul menjelang pilihan raya,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Liew menekankan bahawa perpaduan adalah kekuatan utama Sabah, dan hanya dengan kestabilan politik negeri ini mampu menarik pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta menjana pembangunan inklusif.
“Kemajuan tidak akan tercapai jika kita terus berpecah belah. Pembangkang hanya hadir dengan janji manis dan retorik, sedangkan GRS telah membuktikan keupayaan menyelesaikan isu rakyat secara konsisten,” ujarnya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, beliau menyeru rakyat agar memperbaharui tekad menjaga keharmonian, menolak fitnah dan terus menyokong kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Ini bukan masa bermain politik murahan. Ini masa untuk kita bersatu, bangkit dan membawa Sabah ke hadapan bersama GRS,” katanya lagi.
Liew turut mengingatkan golongan belia agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan di media sosial yang dipenuhi maklumat palsu dan cubaan manipulasi sentimen.
“Sabah milik kita bersama. Jangan gadaikan masa depan hanya kerana percaya kepada pembohongan politik yang berselindung di sebalik topeng perubahan, tetapi sebenarnya menjurus kepada perpecahan,” tegas beliau.
































