Naran Singh Ara Singh
KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat kali kedua dijalankan terhadap Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menemukan beberapa kecederaan mencurigakan berkemungkinan menyebabkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu pada 28 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur mendapati terdapat kecederaan-kecederaan pada badan Syamsul Haris yang dipercayai punca kematiannya.
Beliau berkata, pihaknya menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar untuk melaksanakan inkues dengan serta-merta berkaitan kes kematian Syamsul Haris.
“Bedah siasat bermula pada 9 pagi dan tamat kira-kira 4 petang. Ia dijalankan secara teliti, setiap badan diperiksa dan dilihat selain CT scan turut dilakukan
“Setakat ini keputusan bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kecederaan-kecederaan mencurigakan pada badan mungkin menyebabkan kematian Syamsul Haris dan memerlukan siasatan lanjut.
“Dengan hormatnya saya mohon Peguam Negara untuk buat inkues dengan serta-merta selain Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengambil berat terhadap kes ini,” katanya kepada pemberita di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur kelmarin.
Beliau menuntut inkues dan siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca-punca kecederaan yang ditemukan dalam bedah siasat kedua itu.
“Yang pertama bagaimana kecederaan ini berlaku. Kedua siapa yang bertanggungjawab? Kita harap mereka bertanggungjawab dapat diheret tanpa mengira pangkat.
“Kita harap ibunya yang kehilangan anak dan rakyat inginkan keadilan terhadap kes ini dan Peguam Negara akan menjawab permohonan inkues kita pada Selasa ini dan sekiranya tidak dilaksanakan, kita akan mohon kali kedua di Mahkamah Shah Alam,” katanya.
Ketika ditanya mengapa bedah siasat kali pertama tidak dapat menemukan beberapa kecederaan yang didakwa pada badan, beliau berkata, ia perlu dapat dijawab oleh pakar.
“Saya tidak dapat jawab, ia perlu dijawab oleh pakar dan ini akan menjejaskan bedah siasat kali kedua,” katanya.
Menurutnya, ahli keluarga Allahyarham Syamsul Haris setakat ini berpuas hati dengan bedah siasat kali kedua yang dijalankan.
Pada 19 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.


































