Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Semakan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) terhadap pelaburannya dalam Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) tidak wajar diteruskan jika memberi kesan negatif kepada kepentingan nasional dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai institusi amanah yang mengurus kepentingan Bumiputera, PNB tidak boleh berkompromi dalam mempertahankan pegangan terhadap aset strategik negara.
“Saya mengambil maklum mengenai semakan strategik oleh PNB terhadap pelaburannya dalam kumpulan Prolintas.
“Saya menegaskan bahawa selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, PNB dilaporkan sedang menjalankan semakan strategik terhadap pelaburannya dalam Kumpulan Prolintas sebagai sebahagian daripada proses penilaian portfolio yang dijalankan secara berkala.
PNB berkata, inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti peluang bagi meningkatkan nilai jangka panjang demi manfaat para pemegang unitnya.
Anwar berkata, kepentingan nasional serta kedudukan Bumiputera perlu diletakkan sebagai pertimbangan utama dalam sebarang keputusan strategik PNB.
“PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara. Justeru, saya meminta PNB untuk meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.


































