Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan kontroversi pada Isnin apabila mencadangkan rakyat AS mungkin mahukan seorang diktator, ketika beliau menandatangani beberapa perintah bagi memperketat kawalan persekutuan di Washington.
Menurut Utusan Malaysia, Trump memberitahu, beliau tidak menerima penghargaan atas tindakan tegasnya terhadap jenayah dan imigresen menggunakan bantuan Pengawal Kebangsaan.
“Mereka kata ‘kita tak perlukan dia. Kebebasan, kebebasan. Dia diktator. Dia diktator.’ Ramai orang kata: ‘Mungkin kita suka diktator,’” ujar Trump kepada wartawan.
Namun, beliau kemudian menafikan perkara itu.
“Saya tak suka diktator. Saya bukan diktator. Saya seorang yang ada akal yang waras dan seorang yang bijak,” katanya.
Trump, yang sebelum ini cuba membatalkan keputusan pilihan raya 2020 yang memihak kepada Joe Biden, pernah menyatakan beliau akan menjadi “diktator pada hari pertama” sekiranya menang penggal kedua dalam pilihan raya November.
Kini, selepas kemenangannya, Trump telah menghantar Pengawal Kebangsaan ke Washington atas dakwaan bahawa jenayah di ibu negara berada di luar kawalan. Beliau turut mengambil alih kawalan ke atas jabatan polis bandar tersebut secara persekutuan.
Trump turut menyatakan beliau mempertimbangkan untuk menghantar tentera ke Chicago dan Baltimore, bandar-bandar yang dianggap sebagai kubu kuat Demokrat.
Pada bulan Jun, beliau telah menghantar Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles, walaupun ditentang oleh Datuk Bandar dan Gabenor negeri.
Trump juga menyindir Gabenor Illinois, JB Pritzker, yang lantang menentang sebarang campur tangan tentera di Chicago.
“Bila saya lihat apa yang berlaku di bandar-bandar kita, dan anda hantar tentera, sebaliknya daripada dipuji, mereka kata ‘anda cuba ambil alih Republik ini,’” katanya dengan nada sinis.


































