CANBERRA: Satu pasangan Australia mendedahkan mereka diarahkan memadam video perjalanan dan hantaran Instagram tentang kunjungan mereka ke satu daripada pusat pelancongan terkenal di negara ini iaitu Uluru, tiga bulan selepas pulang dari destinasi tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Britt Cromie dan suaminya, Tim, yang sering berkongsi catatan pengembaraan di media sosial mengaku tidak mengetahui bahawa garis panduan ketat berkaitan fotografi dan rakaman wujud di Uluru dan Kata Tjuta walaupun hanya untuk kegunaan peribadi.
Uluru, yang dahulu dikenali sebagai Ayers Rock, dianggap kawasan sangat sensitif secara budaya kerana mempunyai kepentingan spiritual bagi masyarakat asli Anangu.
Dalam video Instagram, Britt mengakui mereka terkejut menerima e-mel panjang daripada pihak berkuasa yang menyenaraikan sehingga 20 kesalahan berhubung kandungan YouTube dan Instagram mereka.
“Anda perlu memohon permit, sama ada anda pencipta kandungan, buat kerjasama jenama atau sekadar memuat naik di media sosial peribadi. Kami benar-benar tidak tahu tentang perkara itu,” jelasnya.
Menurut syarat di Uluru–Kata Tjuta National Park, sesiapa yang mahu merakam foto atau video perlu membeli permit khas bernilai AS$20 (RM84) sehari untuk fotografi komersial atau AS$250 (RM1,051) sehari untuk penggambaran video.
Selain itu, semua pengunjung turut diwajibkan membeli pas masuk taman bernilai AS$38 (RM159) seorang untuk lawatan tiga hari.
Pasangan itu memohon permit selepas lawatan mereka, namun tetap dimaklumkan bahawa banyak bahagian rakaman mereka melanggar peraturan, meskipun mereka telah menapis keluar adegan kawasan suci.
Parks Australia menegaskan banyak bahagian di Uluru dan Kata Tjuta adalah kawasan larangan rakaman.
“Butiran dan bentuk batu di kawasan ini setara dengan kitab suci bagi masyarakat Anangu. Ia mengandungi maklumat budaya penting dan hanya boleh dilihat di lokasi asal oleh individu tertentu.
“Amat tidak wajar untuk imej kawasan sensitif itu dilihat di tempat lain, justeru mengambil sebarang foto di kawasan berkenaan adalah dilarang,” menurut laman rasmi Uluru.


































