Noor Azman Rahman
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyiasat insiden panas di Arena Futsal Negeri Sembilan kelmarin yang didakwa membabitkan ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada pegawai perlawanan dan pengadil sebelum kes itu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.
“Kita sedang meneliti insiden pergaduhan berkenaan dan menunggu laporan rasmi. Semua maklumat yang diperoleh akan dikumpul dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya didapati bersalah, jurulatih terbabit boleh dikenakan hukuman gantung dan denda,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kejadian mengejutkan itu berlaku sejurus tamat aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia yang menyaksikan Sabah tumbang 3-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sabah ketika itu berada di kedudukan selesa selepas mendahului 3-1, namun rentak berubah drastik apabila JDT bangkit garang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan dramatik.
Kekalahan tersebut nyata mengundang kemarahan Filipe yang didakwa gagal mengawal emosi selepas wisel penamat sehingga memaksa pegawainya sendiri cuba menenangkan keadaan.
Detik mengejutkan itu sempat dirakam penonton sebelum rakaman tersebut tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat futsal.
Sementara itu, aksi final menyaksikan Selangor FC muncul juara Piala Futsal Malaysia selepas membelasah Pahang Rangers dengan keputusan 13-3.


































