Ketua Kampung Tiong Gondohon, Charles Ahkiau Boliking menunjukkan kepada Joniston jalan pertanian yang baru siap dibina di kampungnya.
KIULU: Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencatatkan pencapaian luar biasa untuk Sabah, sekali gus menetapkan penanda aras berbanding pentadbiran terdahulu, kata Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, rekod GRS sudah membuktikan kemampuan dengan hasil negeri tertinggi dalam sejarah, rizab negeri paling kukuh dan peruntukan terbesar yang pernah disalurkan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, tahun lalu hasil negeri mencecah rekod RM6.9 bilion manakala rizab negeri kini berjumlah RM8.7 bilion.
“Pencapaian ini membuktikan GRS benar-benar sebuah kerajaan yang menzahirkan hasil nyata dan dapat diukur untuk rakyat. Kita telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu demi manfaat rakyat yang tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, khususnya kerajaan Parti Warisan,” katanya.
“Di Kiulu, perubahan yang kita lihat tidak pernah berlaku sebelum ini. Tidak pernah dalam sejarah kita dapat memperuntukkan RM1.5 juta hanya untuk jalan pertanian kerana setiap ADUN menerima peruntukan tahunan tertinggi sebanyak RM4 juta.
“Buat pertama kali juga, kita berjaya menyediakan lebih 120 buah rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk keluarga yang paling memerlukan,” katanya ketika menghadiri Program Mesra Rakyat di Kampung Tiong, di sini, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu menegaskan bahawa pencapaian ini dapat direalisasikan kerana kestabilan politik GRS serta pengurusan kewangan yang bijak.
Antara kejayaan utama gabungan itu ialah memperoleh Geran Khas Persekutuan sebanyak RM600 juta, memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang menjana jutaan ringgit hasil kepada negeri, serta memastikan peruntukan rekod yang terus memberi manfaat kepada rakyat.
“Pencapaian ini tiada tandingan. Tiada kerajaan lain yang mampu melakukan apa yang dicapai oleh GRS dalam tempoh singkat, dan ini hanyalah permulaan.
“Apabila hasil Sabah terus meningkat, kita akan dapat menyalurkan lebih banyak lagi kepada rakyat… momentum ini mesti diteruskan agar kemajuan Sabah tidak terbantut,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi menilai GRS berdasarkan rekod pencapaiannya, sambil menegaskan kesinambungan dan kestabilan adalah penting menjelang pilihan raya negeri akan datang.


































