LONDON: Pejabat Dalam Negeri Britain mengumumkan lebih banyak van pengecaman wajah secara langsung (LFR) akan digunakan di tujuh pasukan polis di England untuk mengesan suspek kesalahan seksual, serangan ganas dan pembunuhan.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan polis akan mendapat akses kepada 10 van baharu yang dilengkapi kamera bagi mengimbas wajah orang ramai secara langsung dan menyemaknya dalam senarai individu dikehendaki.
Kerajaan berkata, teknologi itu digunakan di London untuk menangkap 580 individu dalam tempoh 12 bulan, termasuk 52 pesalah seks.
Bagaimanapun, kumpulan advokasi Big Brother Watch berkata, perluasan penggunaan kaedah itu sebagai membimbangkan.
Pengecaman wajah secara langsung pertama kali digunakan di England dan Wales pada 2017 semasa perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA di Cardiff.
Sejak itu, penggunaannya terhad kepada South Wales, London dan Essex, termasuk semasa konsert Beyonce bagi mengesan pedofil dan pengganas.
Kerajaan kini membiayai 10 van baharu yang dilengkapi teknologi LFR untuk digunakan bersama tujuh pasukan polis, hampir menggandakan jumlah kenderaan sedia ada.
Tujuh pasukan itu ialah Greater Manchester, West Yorkshire, Bedfordshire, Surrey, Sussex, Thames Valley dan Hampshire.
Teknologi itu mengenal pasti individu dengan mengukur ciri wajah, termasuk jarak antara mata dan panjang rahang, kemudian membandingkan dengan senarai individu dikehendaki.
Setiap van dikendalikan oleh seorang pegawai terlatih yang menyemak padanan yang dikenal pasti oleh teknologi.


































