Tangkap layar video yang tular menunjukkan situasi cemas ketika dua pelancong Malaysia dibakar oleh seorang penganggur di Bangkok, Thailand.
PETALING JAYA: Dua pelancong Malaysia cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur lelaki di Jalan Ratchadamri Thailand, malam Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, suspek tiba-tiba menuang cecair pencair dari arah belakang ke atas seorang lelaki dikenali sebagai Ong, 26, dan seorang wanita, Gan, 27, yang ketika itu sedang duduk di tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah.
Pemangku Duta Besar Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata, beliau telah melawat kedua-dua mangsa yang kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Menurutnya, Ong dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Besar Polis, manakala Gan menerima rawatan di Hospital King Chulalongkorn Memorial.
“Ong mengalami melecur tahap kedua di bahagian hadapan dan belakang badan. Kecederaannya serius tetapi tidak mengancam nyawa.
“Gan pula mengalami 36 peratus melecur tahap kedua, namun keadaannya stabil dan sedar,” katanya semalam.
Menurutnya, pihak kedutaan telah menghubungi keluarga kedua-dua mangsa bagi memaklumkan insiden berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Lumpini, Kolonel Yingyos Suwanno berkata, suspek berusia 30 tahun dari wilayah Sa Kaeo itu dipercayai bertindak menyerang mangsa kerana tertekan akibat menganggur.
Katanya, lelaki terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.
“Suspek kini direman di Balai Polis Lumpini. Siasatan berhubung motif serangan sedang dijalankan dan polis akan mengambil keterangan mangsa sebaik mereka benar-benar stabil,” jelasnya.
































