PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Khamis selepas cuba meninggalkan Sabah menggunakan pas lawatan sosial palsu.
Menurut Utusan Malaysia, AKPS memaklumkan, semakan mendapati pas tersebut mengandungi endosmen kemasukan bertarikh 28 Julai dan keluar pada 30 Julai, namun kedua-duanya tidak direkodkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia dan dipercayai palsu.
“Suspek ditahan kerana cuba mengelirukan pihak berkuasa mengenai tempoh sebenar keberadaannya di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Pemeriksaan lanjut turut menemui dua pas penerbangan milik suspek, masing-masing untuk ke Kuala Lumpur pada 30 Julai dan satu lagi ke Manila, Filipina pada hari berikutnya.
Tujuan pemilikan dua pas ini sedang disiasat bagi mengenal pasti modus operandi suspek.
Suspek diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki atau menggunakan pas palsu tanpa kuasa sah.
AKPS menegaskan komitmennya untuk terus memperketat kawalan di semua pintu masuk negara bagi membanteras cubaan pemalsuan dokumen dan aktiviti keluar masuk secara haram.
































