Saifuddin Nasution Ismail
KUANTAN: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan yang melibatkan hampir 60 saksi kini berada pada peringkat akhir sebelum tindakan lanjut oleh pihak pendakwaan.
“Fokus kita adalah kepada siasatan polis. Hampir 60 saksi sudah dipanggil dan tugas polis ialah untuk membantu menyiapkan siasatan sama ada wujud kes, motif atau unsur senjata. Semua itu dalam skop mereka. Siasatan kini sudah selesai dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya selepas program Tamat Latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, sebarang keputusan selepas itu sama ada untuk meneruskan pendakwaan atau membuka prosiding inkues terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
Beliau mengakui permohonan yang dibuat oleh ibu Allahyarham termasuk menggali semula kubur untuk tujuan bedah siasat merupakan satu tindakan sah di sisi undang-undang.
“Usaha yang dilakukan oleh ibu mangsa melalui saluran undang-undang adalah dibenarkan, dan kita akan pastikan semua proses berkaitan dilaksanakan secara teratur,” katanya
Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Bagaimanapun, ketiadaan proses bedah siasat sebelum pengebumian menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli keluarga yang kemudian tampil membuat laporan polis tambahan dan memohon agar satu inkues diadakan bagi mencari kepastian terhadap punca sebenar kematian.































