Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Misteri kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, masih belum terungkai sepenuhnya meskipun sudah lebih dua minggu insiden tragis itu berlaku.
Pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Pelajar tersebut disahkan meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal menyatakan bahawa mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Namun, ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan tiada saksi utama yang tampil memberikan keterangan secara langsung telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Inginkan keadilan buat Zara Qairina, keluarganya tampil mendedahkan bahawa Allahyarhamah pernah memaklumkan kepada ibunya mengenai gangguan yang dialaminya sepanjang berada di asrama, dipercayai melibatkan pelajar senior.
Malah, ibunya juga memohon supaya kubur mangsa digali semula bagi membolehkan inkues kematiannya diadakan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam mewakili keluarga berkenaan yang memaklumkan, satu laporan polis tambahan telah difailkan pada 30 Julai lalu di Balai Polis Sipitang bagi memohon siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, anak guam mereka berpendapat pihak polis sepatutnya menjalankan bedah siasat bagi membantu menentukan punca sebenar kematian.
“Dalam laporan polisnya, anak guam kami turut memohon agar kubur Zara digali semula bagi tujuan inkues.
“Anak guam kami telah memfailkan satu laporan polis tambahan bagi memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara terperinci.
“Ini kerana terdapat rakaman perbualan telefon antara mangsa dan ibunya yang menunjukkan bahawa Zara memaklumkan dirinya telah diganggu dan menerima ugutan daripada pelajar senior,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Lebih mengejutkan, pihak peguam turut mendedahkan bahawa antara bukti yang dikemukakan kepada pihak polis termasuk petikan perbualan yang berbunyi ‘kalau aku touch-touch kau ni, biar berbekas, biar berdarah kau ni.’
Katanya, petikan tersebut memberi gambaran jelas bahawa mangsa berkemungkinan berdepan elemen intimidasi dan tekanan secara berulang sepanjang berada di asrama, sekali gus memperkukuh keperluan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, keluarga turut memaklumkan bahawa sebelum kejadian, Allahyarhamah menunjukkan tanda-tanda tertekan secara emosi dan mengalami perubahan tingkah laku yang meresahkan.
Susulan pendedahan tersebut, pihak keluarga berharap agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan, termasuk mengambil kira semua bentuk gangguan yang mungkin dialami Allahyarhamah semasa berada di sekolah.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dan mencari kebenaran demi keadilan buat Zara,” katanya.
Selaras dengan kehendak tersebut, peguam keluarga telah mengemukakan satu permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu pada 31 Julai 2025 agar satu inkues dijalankan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Kami berharap agar Jabatan Peguam Negara dapat menggunakan kuasa yang ada untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues bagi menentukan punca kematian si mati dengan kadar segera,” katanya.
Dalam masa sama, pihak peguam menafikan dakwaan yang mengaitkan ibu mangsa sebagai punca kematian, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan satu fitnah jahat.
“Tidak ada ‘plot twist’ dalam kes ini,” katanya.
Setakat ini, Polis Sabah memaklumkan, seramai 60 individu termasuk pelajar, guru, dan kakitangan sekolah telah dipanggil untuk dirakam keterangan. Kertas siasatan juga telah dikemukakan ke Bukit Aman sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
































