Masiung (tengah) menyampaikan pencerahan semasa perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Karamunting.
SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah berkata, keyakinan itu berdasarkan kekuatan jentera akar umbi yang diterajui penyandang kerusi berkenaan, Datuk George Hiew Vun Zin sejak menyertai parti itu pada Mac 2023.
“Kita melihat rekod prestasi Gagasan Rakyat di Karamunting sejak hampir tiga tahun lalu sangat memberangsangkan dan diyakini mampu menyumbangkan satu kerusi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Masiung yang juga Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 10 menyuarakan keyakinan itu ketika menghadiri sesi taklimat persiapan akhir PRN17 di Pejabat Bahagian Gagasan Rakyat Karamunting, Jalan Laila, semalam.
Menurutnya, gerak kerja jentera kempen telahpun tersusun rapi dengan penglibatan tiga sayap utama parti iaitu Pemuda, Wanita dan Beliawanis yang digerakkan sejak hujung tahun lalu.
Beliau berkata, parti-parti komponen GRS dan Pakatan Harapan (PH) juga sudah bersedia memperhebat gerak kerja politik secara berskala kecil dan besar menjelang PRN17 di kawasan itu.
“Semua enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) diaktifkan dan saya yakin GRS yang dipimpin George mampu meraih sokongan majoriti besar kali ini,” katanya.
Untuk rekod, Hiew memenangi kerusi DUN Karamunting pada PRN 2018 dan mempertahankannya dalam PRN 2020 atas tiket Warisan sebelum menyertai Gagasan Rakyat pada Mac 2023.
Sementara itu, Hiew berkata, kira-kira 85 peratus ketua-ketua cawangan Warisan di Karamunting turut menyertai beliau berhijrah dan kini menyokong Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 10 pernah menjawat jawatan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
































