Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian anaknya dengan mana-mana individu berprofil tinggi (VIP).
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu didedahkan oleh peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, dalam kenyataan.
Katanya, sebarang dakwaan atau andaian yang mengaitkan perkara tersebut adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam mereka itu.
“Anak guam kami juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan ‘kau pembunuh’ oleh para pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Perkara ini hanya diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial.
“Anak guam kami juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari SMKA Tun Datu Mustapha Limauan pada hari kematian Zara,” kata kenyataan itu,
Menurut Hamid dan Shahlan, maklumat yang tular berhubung pelajar dipindahkan hanya diketahui selepas tersebar di media sosial dan bukan datang daripada anak guam mereka.
Mereka turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis hendaklah disalurkan terus kepada pihak polis atau kepada kami bagi membantu proses siasatan,” jelasnya































