KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pencerobohan tanah kerajaan untuk aktiviti perlombongan mineral secara haram direkodkan di enam negeri antara Januari 2022 hingga Mei 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan, kes berkenaan berlaku di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Antara mineral yang dilombong secara haram termasuk emas dan unsur nadir bumi (REE), dengan nilai rampasan membabitkan bahan mineral, jentera serta peralatan dianggarkan berjumlah RM2.89 juta,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen kelmarin.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai jumlah kes pencerobohan tanah kerajaan melibatkan aktiviti perlombongan mineral bagi tempoh Januari 2022 hingga Mei 2025 dan anggaran kerugian bagi tempoh tersebut.
Bagaimanapun, kementerian menjelaskan bahawa anggaran kerugian sebenar sukar ditentukan kerana aktiviti dijalankan secara haram dan di luar sistem pelesenan sah, menyebabkan tiada rekod tepat jumlah mineral yang diekstrak atau nilai pasarannya.
“Dalam banyak kes, serbuan hanya dilakukan selepas kawasan perlombongan ditinggalkan oleh pelombong haram, sekali gus menyukarkan penilaian terhadap kerugian sebenar,” katanya.
































