Peto Galim
KOTA KINABALU: Seramai 16 pengusaha hiliran nelayan dari Semporna berjaya mencatat jualan keseluruhan melebihi RM5.2 juta melalui platform e-dagang e-KAN yang disediakan oleh Ko-Nelayan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Peto Galim berkata, jumlah jualan terkumpul sebanyak RM5,233,541.95 itu direkodkan setakat Mei 2025.
“Para pengusaha ini membuka kedai maya melalui e-KAN di bawah Program Elektronik Komuniti Usahawan Perikanan, yang memberi peluang kepada usahawan mikro, komuniti belia nelayan dan pengusaha tempatan untuk memasarkan produk secara digital,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Haji Jaujan Sambakong (Sulabayan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Peto turut memaklumkan bahawa lapan nelayan dari Semporna menerima insentif i-Nelayan sepanjang 2024 hingga 2025, manakala 13 pengusaha hiliran menjadi peserta i-Hiliran dalam tempoh sama.
Selain itu, nelayan di Semporna turut dibekalkan aplikasi dan peranti satelit e-SMART bagi mengenal pasti lokasi penangkapan ikan, di mana seramai lapan nelayan telah dilatih dan menggunakan teknologi tersebut.
Beliau berkata, insentif untuk 1,500 nelayan berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) Semporna, Peto berkata MAFFI menyediakan pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira status pendaftaran dengan PNK.
Antara insentif utama ialah Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin yang merangkumi bantuan seperti enjin sangkut, bot gentian kaca, kotak ikan berinsulasi, jaket keselamatan, dan lampu penanda.
Katanya, MAFFI melalui Jabatan Perikanan Sabah turut melaksanakan Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat serta Program Bantuan Nelayan Pesisir Pantai yang menyumbang pelbagai peralatan seperti pukat, GPS, dan bot, mengikut keperluan.
Setakat 2024, terdapat 26,682 nelayan di Sabah dan 5,158 daripadanya berasal dari Semporna. Seramai enam nelayan Semporna telah menerima bantuan tahun lalu dan 12 lagi dijangka menerima bantuan tahun ini.
Di samping itu, MAFFI melalui Ko-Nelayan menyediakan Program Peningkatan Pendapatan Nelayan dengan tiga skim kredit mikro: Skim Bantuan Nelayan, Skim Bantuan Pengusaha Akuakultur, dan Pembangunan Industri Kecil Perikanan.
Turut ditawarkan ialah Program Pembangunan Modal Insan yang meliputi latihan percuma di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta Program Latihan Pembangunan Nelayan termasuk kemahiran membuat bot fibreglass dan pemprosesan hasil perikanan.
“Lapan nelayan Semporna telah mengikuti kursus penyelenggaraan enjin dan pembuatan bot fibreglass dari tahun 2024 hingga 2025,” katanya.
Peto turut menjelaskan bahawa Ko-Nelayan menyediakan pembiayaan mikro i-Nelayan bernilai RM10,000 dan i-Hiliran sehingga RM100,000 untuk pengusaha pemprosesan makanan berasaskan perikanan, tertakluk kepada kelayakan.


































