TOKYO: Kes batuk kokol terus meningkat di Jepun, mencecah rekod mingguan baharu sebanyak 3,353 kes, menurut Institut Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan data mingguan terkini antara 23 hingga 29 Jun, jumlah itu menjadikannya angka tertinggi sejak kaedah pemantauan semasa mula diperkenalkan pada 2018.
Batuk kokol atau pertusis, ialah jangkitan saluran pernafasan akut yang sangat mudah berjangkit.
Ia boleh membawa kepada komplikasi seperti radang paru-paru (pnemonia) atau ensefalopati, yang boleh membawa maut terutama kepada bayi serta golongan berisiko tinggi.
Seperti namanya, penyakit itu menyebabkan batuk berterusan yang kuat, disusuli bunyi seperti ‘whoop’ ketika pesakit menarik nafas menurut pakar kesihatan.
Data awal daripada Institut Keselamatan Kesihatan Jepun menunjukkan lonjakan mendadak kes batuk kokol, dengan 39,672 kes direkodkan sejak awal tahun ini.
Jumlah itu jauh melebihi kira-kira 4,000 kes yang dilaporkan sepanjang tahun 2024.
Menurut institut itu, sejak awal April lalu, hospital dan klinik di seluruh Jepun melaporkan lebih 1,000 kes setiap minggu, menandakan peningkatan jangkitan yang membimbangkan.


































