MANILA: Bandar raya Manila mengisytiharkan darurat selepas krisis pengurusan sampah semakin meruncing, susulan tindakan syarikat pengendali menghentikan perkhidmatan mereka akibat tunggakan bayaran.
Menurut Utusan Malaysia, sejurus kembali memegang jawatan Datuk Bandar pada 30 Jun, Fransisco ‘Isko Moreno’ Domagoso terus berdepan krisis apabila syarikat pengurusan sisa menghentikan operasi mereka pada hari sama.
Akibatnya, longgokan sampah yang tidak dikutip terus memenuhi jalan-jalan utama di ibu negara Filipina itu.
Selama beberapa minggu, sampah mula memenuhi bandar, menyebabkan sesetengah jalan tidak boleh dilalui dan lorong utama, termasuk menuju ke dewan bandar raya dan Mahkamah Agung, dipenuhi sisa buangan.
Hujan monsun turut memburukkan lagi keadaan, apabila beg sampah dan kotak terbuang dihanyutkan oleh takungan air.
“Sakit mata dan pedih di hidung, serta memudaratkan kesihatan awam,” kata Domagoso dalam siaran langsung pada 30 Jun lalu.
Beliau turut menggesa penduduk supaya menyimpan sampah di premis masing-masing sehingga perkhidmatan kutipan kembali seperti biasa.
Domagoso menyalahkan pentadbiran terdahulu atas krisis yang sedang melanda bandar raya itu, dengan mendakwa bekas Datuk Bandar, Dr Honey Lacuna gagal melunaskan bayaran kepada syarikat pengurusan sisa.
Dua syarikat swasta yang bertanggungjawab mengutip sampah di Manila menghantar surat memaklumkan penamatan perkhidmatan mereka.
Dalam surat yang dibacakan Domagoso, syarikat itu menyatakan mereka memulakan operasi sejak Februari lalu dan belum menerima sebarang bayaran sehingga kini.
Beliau mendedahkan, Manila kini menanggung tunggakan bayaran berjumlah hampir AS$17 juta (RM71.7 juta), merangkumi kontrak perkhidmatan, projek infrastruktur dan program kebajikan sosial.