Hanyan Ramlan (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan antara sijil cuti sakit palsu yang berjaya dirampas semasa sidang akhbar di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.
SUNGAI PETANI: Tindakan seorang anggota polis yang kerap mengambil cuti sakit membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket menghasil dan menjual sijil cuti sakit palsu di daerah ini.
Menurut Utusan Malaysia, sindiket membabitkan tiga lelaki termasuk seorang daripada mereka merupakan pesakit jantung itu tumpas selepas satu siasatan dalaman dijalankan terhadap anggota terbabit yang sering bercuti.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebaik menerima maklumat dari pegawai perubatan kerajaan yang meragui kesahihan sijil cuti sakit anggota polis itu, pihaknya menyerbu sebuah premis di Taman Songket, di sini.
“Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kuala Muda dibuat pukul 4.30 pagi, 26 Jun lalu dan menemui 20 keping sijil cuti sakit, tablet, komputer riba, mesin pencetak, cop nama doktor serta kertas A4 yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia lewat 40-an mengaku menjual sijil berkenaan kepada individu tertentu termasuk penjawat awam dengan harga antara RM25 hingga RM30 bagi satu hari cuti tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu dan menggunakan nama doktor yang pernah merawatnya untuk mencipta sijil cuti sakit palsu dengan butiran jawatan direka sendiri.
“Setiap kali suspek mendapatkan rawatan di hospital, dia akan ingat nama doktor yang dirawatnya untuk digunakan pada cop nama, sebab itu kebanyakan nama yang digunakan pada cop nama itu adalah doktor sebenar namun jawatannya tidak tepat.
“Sasaran penjualan sijil cuti sakit palsu ini ialah dalam kalangan penjawat awam termasuk kepada anggota polis dan yang hanya dilakukan di sebuah kedai makan berdekatan dengan hospital,” katanya.
Hanyan berkata, susulan tangkapan pertama, dua lagi lelaki berusia 30-an turut ditahan kerana dipercayai menjadi orang tengah yang membantu mendapatkan pelanggan yang mahu membeli sijil cuti sakit tanpa rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu kerana menipu dan memalsukan dokumen. Kesemua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.